PDRM bayar RM3.47 juta untuk selenggara helikopter tidak aktif

Nik Azman (tengah) menunjukkan buku Laporan Audit Negara Tahun 2019 pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Nik Azman (tengah) menunjukkan buku Laporan Audit Negara Tahun 2019 pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati telah membuat bayaran tetap penyelenggaraan bulanan bagi dua helikopter yang tidak aktif melebihi tiga tahun berjumlah RM3.47 juta.

Perkara itu didedahkan dalam Pengauditan Pematuhan Bayaran Perkhidmatan Penyenggaraan yang dilaksanakan Jabatan Audit Negara (JAN).

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, ketirisan turut dikesan apabila PDRM terlebih bayar RM105,875 bagi bayaran tetap penyelenggaraan bulanan helikopter.

"Ini kerana bayaran pada kadar RM38,500 sebulan untuk tempoh 19 bulan walaupun helikopter tidak aktif melebihi enam bulan," katanya pada sidang akhbar Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1, di sini.

Menurutnya, pengurangan sepatutnya 25 peratus dikenakan untuk menyelenggarakan helikopter tidak aktif dengan kadar bayaran RM28,875 sebulan seperti diperuntukkan di dalam kontrak.

"PDRM perlu memastikan pegawai penyedia, penyemak dan pengesah membuat semakan dengan teliti mengikut syarat kontrak sebelum bayaran dibuat bagi mengelakkan pembayaran tidak wajar," katanya.

Beliau berkata, PDRM turut didapati membuat pembayaran terhadap penukaran alat ganti fotografi RM2.70 juta melebihi RM2.49 juta berbanding had syiling iaitu hanya RM209,964.

"Penyelenggaraan korektif terhadap 467 peralatan fotografi sedia ada tidak dilaksanakan mengikut kontrak sebaliknya RM2.72 juta dibayar bagi perolehan 467 peralatan baharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebanyak 187 peralatan fotografi bernilai RM1.05 juta yang dihantar untuk penyelenggaraan juga didapati masih dalam simpanan syarikat walaupun kontrak tamat pada 31 Mei 2019.

"PDRM perlu memastikan syarat kontrak berkaitan bayaran dibuat berdasarkan kerja penyenggaraan sebenar bagi menjaga kepentingan kerajaan.

"JAN mengesyorkan pihak syarikat atau pegawai yang tidak mematuhi kehendak atau arahan jabatan seperti yang tertakluk dalam undang-undang, peraturan kewangan, kontrak dan standard prosedur operasi dikenakan tindakan," katanya.