Tadbir urus THHR, TalentCorp kurang memuaskan

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid ketika sesi sidang media selepas menyampaikan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri Satu di Jabatan Audit Negara hari ini. - Foto Bernama
Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid ketika sesi sidang media selepas menyampaikan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri Satu di Jabatan Audit Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Amalan tadbir urus korporat TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) dan Talent Corporation Malaysia Bhd berada pada tahap kurang memuaskan.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, perkara itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, daripada sembilan syarikat yang diaudit, hanya dua syarikat itu berada pada tahap berkenaan sementara empat memuaskan dan tiga pada tahap baik.

"THHR dan TalentCorp juga berada pada tahap tidak mencapai sepenuhnya objektif penubuhan syarikat.

"Bagaimanapun, kedudukan kewangan kedua-duanya syarikat ini adalah stabil," katanya pada sidang akhbar sempena Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 di Jabatan Audit Negara di sini hari ini.

Syarikat lain yang diaudit ialah Amanah Raya Bhd, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd, Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd, UDA Holdings Bhd.

Turut serta CIDB E-Construct Services Sdn Bhd, Malaysian Industry-Government Group For High Technology dan National Institutes Of Biotechnology Malaysia.

Mengulas lanjut, Nik Azman berkata, THHR perlu melakukan penambahbaikan dalam aspek berkaitan pengerusi, lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif, setiausaha syarikat, prosedur operasi standard (SOP), pelan strategik dan petunjuk prestasi utama, jawatankuasa audit serta audit dalam.

Artikel Berkaitan:

"Pencapaian output bagi kadar pengisian bilik dan pendapatan THHR adalah tidak cekap kerana tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Prestasi purata kadar pengisian bilik penginapan hanya mencapai antara 37 hingga 45.9 peratus berbanding sasaran dalam tempoh yang dinilai.

"Prestasi pendapatan keseluruhan pula hanya mencapai 56.9 peratus hingga 62.8 peratus daripada sasaran ditetapkan," katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang TalentCorp, Nik Azman berkata, syarikat itu beroperasi tanpa ketua pegawai eksekutif sejak Jun 2018.

"SOP yang digunakan juga tidak dibentangkan untuk kelulusan lembaga pengarah. Selain itu syarikat ini juga tiada jawatankuasa audit atau fungsi audit dalam sejak penubuhannya pada 2011 sehingga kini," katanya.