Pekerja Malaysia di Singapura dibebani kos saringan, kuarantin

Seorang lelaki yang mendakwa diminta menyerahkan rantai emasnya kerana tidak mampu membayar kos ujian swab dan kuarantin semasa menjalani ujian saringan kesihatan di Johor Bahru.
Seorang lelaki yang mendakwa diminta menyerahkan rantai emasnya kerana tidak mampu membayar kos ujian swab dan kuarantin semasa menjalani ujian saringan kesihatan di Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan diminta mencari jalan meringankan beban pekerja Malaysia di Singapura yang mahu pulang ke negara ini kerana kos yang tinggi ujian swab dan proses kuarantin perlu ditanggung sendiri.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pekerja Malaysia-Singapura, Dayalan Sreebalan berkata, tidak semua pekerja Malaysia di negara itu bergaji besar.

"Mereka yang pulang dan tidak menggunakan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) akan dikenakan ujian swab dan kuarantin dengan kos yang ditanggung sendiri oleh mereka. Sepatutnya pengurusan PCA dan semua kos ditanggung majikan di Singapura.

"Setakat ini kita menerima aduan lebih 2,000 pekerja Malaysia di Singapura yang pulang sejak 17 Ogos lalu mengalami masalah kewangan untuk membayar kos ujian swab dan kuarantin di hotel. Ramai mahu pulang tetapi disebabkan kemasukan terhad, mereka terpaksa menunggu giliran.

"Ini disebabkan ada yang hilang pekerjaan semasa di Singapura dan semasa tinggal di sana sementara menunggu sempadan dibuka, mereka sudah menggunakan segala wang simpanan untuk menampung hidup di sana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau mengulas rakaman video yang tular dalam media sosial berkenaan pekerja Malaysia di Singapura yang 'terkandas' ketika ujian saringan kesihatan kerana tidak mampu membayar kos ujian swab RM200 dan kos kuarantin RM2,100.

Pekerja Malaysia di Singapura mendakwa mereka menerima layanan buruk termasuk tidak diberi makan dan minum termasuk tempat tinggal ketika menanti ujian dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.

Bermula 17 Ogos lalu, mereka yang pulang menggunakan skim PCA dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) menerusi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah perlu dikuarantin.

Artikel Berkaitan:

Bagi rakyat Johor dikuarantin dilakukan selama 14 hari di rumah sendiri dengan pemantauan ketat manakala mereka yang bukan rakyat Johor akan menjalani proses kuarantin di Hotel KSL jika keluar melalui BIS atau Hotel Amansari jika keluar dari BSAB.

Dayalan mendakwa, terdapat satu kes seorang pekerja Malaysia yang pulang tetapi tidak mempunyai wang telah diminta menyerahkan rantai emas dan kejadian itu dirakamkan sebelum tular serta mendapat kecaman netizen.

Katanya, majikan mereka di Singapura juga tidak bertanggungjawab apabila bersikap lepas tangan kerana tidak menanggung kedua-dua kos itu.

Lebih teruk lagi ujarnya, polis mengenakan kompaun RM1,000 apabila ada yang gagal membayarnya.

"Kita dimaklumkan hotel yang dijadikan sebagai pusat kuarantin di negeri ini menerima bayaran RM20 juta. Mereka dapat membuat bisnes dalam keadaan orang lain berada dalam kesusahan," katanya.