13 maut pada majlis digelar 'parti penyebar Covid-19'

Beberapa mayat diletakkan di atas sebuah trak selepas kejadian berasak-asak berlaku di sebuah disko di Lima, Peru pada Sabtu lalu. - Foto AFP
Beberapa mayat diletakkan di atas sebuah trak selepas kejadian berasak-asak berlaku di sebuah disko di Lima, Peru pada Sabtu lalu. - Foto AFP
A
A
A

LIMA - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh akibat lemas ketika mereka berasak-asak dalam satu serbuan di sebuah kelab malam di ibu kota Peru, Lima pada Sabtu lalu.

Parti tersebut diserbu polis kerana melanggar perintah larangan perhimpunan ramai akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Selepas satu operasi polis diadakan di sebuah disko di kawasan kejiranan Los Olivos, seramai 13 orang telah meninggal dunia," kata Ketua Polis Peru, Jeneral Orlando Velasco kepada radio RPP.

Seramai 23 orang ditangkap kerana mengambil bahagian dan beberapa pegawai kesihatan berkata, ia mungkin menjadi majlis penyebar Covid-19 kerana 15 daripada mereka diuji positif, kata polis.

Amerika Latin teruk dilanda dengan Covid-19 dan beberapa pegawai Peru berkata, pergerakan orang ramai dikekang dan perhimpunan melibatkan jumlah yang ramai dihalang daripada dilaksanakan pada bulan ini.

Peru merupakan negara ketiga di benua Amerika Selatan yang teruk dilanda Covid-19 selepas Brazil dan Mexico dengan mencatatkan 27,453 kematian sejak Mac lalu.

Undangan parti hari lahir pada Sabtu lalu itu dibuat menerusi media sosial sekali gus menyebabkan 120 orang datang ke sebuah kelab malam berlesen yang dikenali sebagai Thomas Restobar dengan kebanyakan daripada mereka berumur 20 atau 30 tahun, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Serbuan polis dilakukan sejam sebelum perintah berkurung dilaksanakan selepas jiran menghubungi pihak berkuasa itu dan mengadu tentang perhimpunan haram tersebut.

Artikel Berkaitan:

Undang-undang Peru menyatakan bahawa denda kira-kira AS$110 (RM459.80) akan dikenakan selain hukuman penjara kepada sesiapa yang melanggar peraturan berkaitan dengan Covid-19. - AFP