73 syor dikemuka dalam Laporan Ketua Audit Negara

Nik Azman Nik Abdul Majid
Nik Azman Nik Abdul Majid
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 73 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen hari ini bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, daripada jumlah itu, 23 syor diberi terhadap pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan persekutuan manakala 50 syor terhadap pengurusan syarikat kerajaan persekutuan.

Menurutnya, syor itu dikeluarkan selepas enam pengauditan pematuhan dilaksanakan terhadap tiga kementerian dan tujuh jabatan serta sembilan pengauditan pengurusan syarikat kerajaan.

Katanya, buat pertama kalinya LKAN dipecahkan kepada dua iaitu LKAN 2019 Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan dan LKAN 2019 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

"Laporan disediakan secara ringkas tetapi 'straight to the point'. Apabila laporan cepat dikeluarkan membolehkan tindakan segera diambil iaitu ketika kontrak masih belum tamat.

"Ia boleh menjimatkan kira-kira RM200 juta dari segi nilai kebocoran yang boleh dikutip semula," katanya pada sidang akhbar sempena Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 di Jabatan Audit Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Azman berkata, pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan persekutuan merupakan pendekatan baharu merangkumi penyata kewangan dan pengurusan kewangan selaras dengan 'International Standards of Supreme Audit Institutions' (ISSAI) 4000 dan 4100.

Menurut beliau, pengauditan itu menggunakan pendekatan 3P1K iaitu mengenal pasti elemen pembaziran, pemborosan, penyelewengan dan ketirisan wang awam.

Artikel Berkaitan:

"Pengauditan merangkumi perolehan kontrak dan sebut harga di Kementerian Pertahanan, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan politeknik.

"Ia juga melibatkan bayaran perkhidmatan penyelenggaraan di Tentera Udara Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, pematuhan terhadap prosedur kehilangan wang awam dan aset alih di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya.

Selain itu, kata beliau, ia turut merangkumi pembayaran balik cukai di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan taksiran duti import alkohol di JKDM).

Sementara itu, Nik Azman memberitahu, pengauditan bagi pengurusan syarikat kerajaan merangkumi tiga aspek iaitu tadbir urus korporat, pengurusan aktiviti dan analisis kedudukan kewangan syarikat

Tambahnya, syarikat yang diaudit ialah Tabung Haji (TH) Hotel & Resideence Sdn Bhd, Amanah Raya Bhd, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd dan Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd.

Turut diaudit ialah UDA Holdings Bhd, CIDB E-Construct Services Sdn Bhd, Talent Corporation Malaysia Bhd, Malaysian Industry-Goverment Group For High Technology dan National Institutes Of Biotechnology Malaysia.

"LKAN Tahun 2019 dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat pada jam 10 pagi tadi dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.