Suami isteri tokan dadah diberkas

Antara dadah yang dirampas polis dalam serbuan di Puchong, Selangor, Jumaat lalu.
Antara dadah yang dirampas polis dalam serbuan di Puchong, Selangor, Jumaat lalu.
A
A
A

PUCHONG - Polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan sepasang suami isteri bersama empat lagi individu dalam serbuan berasingan di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, lima suspek termasuk seorang lelaki tempatan dan empat wanita Vietnam ditahan dalam serbuan pertama kira-kira jam 3.30 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati dua daripada mereka merupakan pasangan suami isteri.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah terbabit menjumpai empat peket plastik disyaki berisi serbuk ekstasi seberat 81 gram dan 14 peket plastik lut sinar disyaki berisi ketamin seberat 70 gram.

"Selain itu, ujian air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati positif dadah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, soal siasat mendapati suspek lelaki terbabit dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dan mendapat bekalan daripada seorang lelaki di kawasan Puchong.

Susulan itu, bertindak hasil maklumat dan risikan, polis memberkas seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di Puchong kira-kira jam 5 petang dan merampas 320 gram serbuk ekstasi dan 30 gram ketamin.

Katanya, polis turut menyita tiga buah kereta iaitu Toyota Vios dan Toyota Camry selain wang tunai RM1,000 manakala anggaran keseluruhan dadah yang dirampas bernilai Ram29,035.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.