Pemain buangan PSG julang Bayern

Kingsley Coman
Kingsley Coman
A
A
A

PEMAIN sayap Bayern Munich, Kingsley Coman menjadi wira buat pasukannya selepas menjaringkan gol kemenangan dalam aksi final Liga Juara-Juara menentang kelab lamanya, Paris Saint Germain (PSG) di Lisbon awal pagi tadi.

Bagi Coman, perasaannya bercampur baur selepas menjaringkan gol tersebut apatah lagi dia dahulu bermula di akademi PSG dan sempat bermain bersama kelab Perancis itu dalam beberapa perlawanan.

"Ia perasaan yang sukar digambarkan. Terlalu banyak kegembiraan. Saya 100 peratus Bayern, tetapi saya sedikit sedih untuk PSG.

"Kami cuba mengawal perlawanan sejak dari perlawanan bermula. Kami menang dan dan tidak bolos hari ini. Ia kemenangan penting dan penuh bermakna buat kami semua.

"PSG juga bermain baik dan usaha mereka untuk sampai ke tahap ini perlu dipuji. Kedua-dua pasukan menampilkan permainan berkualiti," katanya.

Coman yang dilahirkan di Paris memulakan langkah dalam bola sepak di akademi PSG pada 2004 sehingga 2013 dan melakukan debut profesional untuk kelab pada 17 Februari 2013 dan hanya tampil empat kali bersama pasukan utama itu.

PSG tidak menyambung kontrak Coman dan membuatkan pemain itu berpindah ke Juventus dan menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab gergasi Itali itu.

Juventus kemudiannya meminjamkan Coman ke Bayern selama dua tahun pada 2015 dan dia mula menunjukkan prestasi cemerlang ketika di bawah kendalian bekas pengendali ketika itu, Pep Guardiola pada musim 2015/2016.

Artikel Berkaitan:

Bayern akhirnya membeli Coman daripada Juventus pada 2017 dan Pemain kelahiran Paris, Perancis itu menjadi wira buat Bayern dan pemusnah kepada PSG dalam aksi final Liga Juara-Juara awal pagi tadi.