Dakwaan pemilihan Bersatu tidak sah akan disiasat

Hamzah (kiri) melancarkan simbolik perasmian program Semarak Bersatu Melayu Merdeka di IOI Palm Villa Golf & Country Resort Kulai, Bandar Putra, Kulai, malam tadi.
Hamzah (kiri) melancarkan simbolik perasmian program Semarak Bersatu Melayu Merdeka di IOI Palm Villa Golf & Country Resort Kulai, Bandar Putra, Kulai, malam tadi.
A
A
A

KULAI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyiasat beberapa dakwaan mengenai pemilihan parti itu di beberapa bahagian tidak sah sekali gus pusingan pemilihan baharu perlu diadakan semula.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan perlu dibuat bagi memastikan perkara itu hanya tohmahan semata-mata.

"Kita akan siasat dengan lebih mendalam termasuk semua maklumat yang diterima," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semarak Bersatu Melayu Merdeka di IOI Palm Villa Golf & Country Resort Kulai, Bandar Putra di sini malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tosrin Jarvanth yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kulai dan Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri.

Mac lalu, Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Selangor membuat laporan polis selepas mendapati tujuh individu menggunakan kad pengenalan palsu dalam pengundian pemilihan Bersatu cawangan Pandamaran, Klang, Selangor.

Perbuatan tersebut berjaya dikesan jawatankuasa pemilihan parti ketika pemberian kertas undi selepas semakan dilakukan semula.

Sebelum itu pemilihan kepimpinan Bersatu Bahagian Masjid Tanah nyaris ditangguhkan selepas berlaku kekecohan pada mesyuarat peringkat Cawangan Pekan Masjid Tanah selepas beberapa ahli Srikandi mempersoalkan ahli yang didaftarkan.

Beberapa dakwaan turut timbul apabila ada ahli di beberapa bahagian Bersatu dikatakan mengundi dua kali dalam pemilihan bahagian parti itu berikutan tidak cukup korum.

Artikel Berkaitan: