Tiada siapa boleh atasi undang-undang: KKM

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu termasuk menteri yang didapati melanggar prosedur operasi standar (SOP) kuarantin di rumah tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang kerana membabitkan nyawa dan keselamatan rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, undang-undang berkenaan bukan bertujuan mendera tetapi untuk menyelamatkan negara.

"Jadi sesiapa sahaja, kalau kita lihat semasa Covid-19 ini malah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri telah melalui fasa kuarantin di rumah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berhubung ketidakpatuhan orang kenamaan seperti menteri sama ada perlu dikompaun yang lebih besar kerana melanggar SOP kuarantin di rumah.

Mengulas lanjut, Datuk Dr Noor Azmi berkata, kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali merupakan jumlah maksimum di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, hukuman lain bergantung kepada siasatan yang dilakukan pihak berkuasa sebagai contoh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tertakluk kepada undang-undang agensi tersebut.

"Kalau kes dihadapkan ke mahkamah (contohnya), maka mereka akan buat keputusan yang selayak untuk sesuatu kesalahan. Tidak kira sesiapa pun (akan terlepas)," katanya.

Terdahulu, KKM dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, Mohd Khairuddin didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairuddin didakwa tidak menjalani kuarantin 14 hari sekembalinya dari Turki pada 7 Julai lalu selepas berada di negara itu selama beberapa hari.