MGTC anjur CSR, hargai petugas barisan hadapan

Program CSR MGTC-Green Touch di Pusat Penjagaan Titian OKU Nur semalam disempurnakan Saiful Bahar (dua dari kanan) yang mewakili Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air.
Program CSR MGTC-Green Touch di Pusat Penjagaan Titian OKU Nur semalam disempurnakan Saiful Bahar (dua dari kanan) yang mewakili Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air.
A
A
A

RAWANG - Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan program kebajikan melalui penganjuran MGT-Green Touch iaitu salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan memerlukan khususnya di Pusat Penjagaan Titian Orang Kurang Upaya (OKU) Nur di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, program berkenaan diadakan bersama Julie’s Manufacturing Sdn Bhd dan GISB Holdings yang menjadi rakan penaja bagi penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

Katanya, pelaksanaan program CSR di Pusat Penjagaan Titian OKU Nur yang mempunyai 79 penghuni warga emas, OKU dan anak yatim itu melibatkan sumbangan bernilai RM8,000 hasil kutipan warga kerja MGTC dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang telah diserahkan kepada pusat jagaan berkenaan untuk kegunaan pengurusan.

“Selain itu, sebanyak 150 beg Julie’s Gift of Love disumbangkan ke pusat jagaan sama serta kepada wakil petugas barisan hadapan dari Balai Polis Rawang, Klinik Kesihatan Rawang dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai tanda penghargaan dan solidariti bersama kerajaan memerangi koronavirus (Covid-19),” katanya pada Program CSR MGTC-Green Touch di sini semalam.

Program disempurnakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad.

Turut hadir, Pengarah Julie’s Manufacturing Sdn Bhd, Martin Ang; wakil GISB Holdings, Datuk Mokhtar Tajuddin dan Pengasas Pusat Penjagaan Titian OKU Nur, Normah Adlan.

Shamsul Bahar turut berharap penganjuran CSR pada masa akan datang berupaya menarik lebih ramai ahli masyarakat untuk membantu golongan memerlukan lebih-lebih lagi kesan Covid-19 menyebabkan banyak syarikat terjejas.

“Justeru, kami mengambil kesempatan ini untuk menaikkan semangat masyarakat dan syarikat korporat lain untuk memberikan sumbangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Ekspo 2020 Dubai yang sepatutnya berlangsung hujung tahun ini ditangguhkan ke tahun depan yang dijadualkan berlangsung 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.

Menurutnya, MGTC selaku agensi pelaksana penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai turut mengalu-alukan sumbangan daripada lebih ramai penaja.

MGTC berada di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air yang berperanan membangunkan dan melaksanakan program pertumbuhan hijau, mitigasi perubahan iklim dan adaptasi perubahan iklim.