Lebuh raya CSR: Kajian EIA dilakukan sebelum pembinaan

Pembukaan laluan kira-kira 5.8km antara Mentara, Kelantan ke Merapoh, Lipis memberikan kemudahan kepada rakyat. Gambar kiri: Mohd Sharkar Shamsuddin
Pembukaan laluan kira-kira 5.8km antara Mentara, Kelantan ke Merapoh, Lipis memberikan kemudahan kepada rakyat. Gambar kiri: Mohd Sharkar Shamsuddin
A
A
A

[LAPORAN KHAS] KUANTAN - Projek Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Pahang dan Kelantan telah dilakukan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebelum lebuh raya itu memulakan pembinaan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, projek itu telah mengambil kira pelbagai faktor ekosistem hidupan setempat tanpa menjejaskan alam sekitar.

Menurutnya, semua pembinaan lebuh raya melibatkan penerokaan sebahagian hutan yang menjadi habitat hidupan liar dan sungai, namun perkara itu telah dikaji terlebih dahulu.

“Semua proses pembinaan mendapat kelulusan EIA dan setiap kali perlaksanaan sesuatu projek, kajian dan penyelidikan dibuat dengan terperinci sebelum kelulusan dikeluarkan.

“Untuk projek Lebuh Raya CSR ini tidak timbul isu alam sekitar kerana semua pihak berkaitan sudah mengambil kira semua perkara terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Mohd Sharkar berkata, projek itu memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya bukan sahaja mengatasi kesesakan malah memberi impak pembangunan kepada daerah-daerah yang berada dalam jajaran lebuh raya termasuk Bentong, Raub dan Lipis.

Katanya, lebuh raya tersebut adalah percuma, justeru, ia mengambil masa untuk dibangunkan dari segi kemudahannya secara berperingkat.

“Lebuh raya ini tidak mempunyai tol, jadi kerajaan Pahang setakat ini tiada rancangan untuk menyegerakan kemudahan di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

“Tapi kajian dilakukan terlebih dahulu bagi membina kemudahan di Lebuh Raya CSR mengikut keperluan,” katanya.