Perantau boleh tarik nafas lega

Pembukaan sebahagian laluan Lebuh Raya CSR dapat mengatasi masalah kesesakan ke pantai timur terutama pada musim perayaan. Gambar dari atas: Mohd Hafizi Ilminuddin, M Sivaraj
Pembukaan sebahagian laluan Lebuh Raya CSR dapat mengatasi masalah kesesakan ke pantai timur terutama pada musim perayaan. Gambar dari atas: Mohd Hafizi Ilminuddin, M Sivaraj
A
A
A

[LAPORAN KHAS] KUANTAN - Berdepan kesesakan teruk setiap kali pulang ke kampung halaman terutama ketika musim perayaan bukan perkara baharu bagi perantau terutama bagi mereka yang berasal dari Kelantan.

Menempuh perjalanan hingga berjam-jam untuk sampai ke destinasi memang tidak dapat dielakkan, namun cabaran itu terpaksa mereka lalui sejak sekian lama.

Kini, mereka boleh menarik nafas lega selepas pembukaan sebahagian laluan Lebuh Raya CSR pada 26 Julai lalu.

Sekurang-kurangnya melalui pembukaan laluan itu, masalah kesesakan dapat diatasi, jarak perjalanan dapat dipendekkan dan mereka dapat menikmati perjalanan dengan lebih selesa.

Penduduk Merapoh yang bertugas sebagai pemandu pelacong, Mohd Hafizi Ilminuddin Zulkapli berkata, dia kerap menggunakan laluan dari Padang Tengku ke Merapoh untuk melepasi sempadan negeri Kelantan ke Kampung Lepan Jaya.

“Laluan tu sebenarnya sudah mula digunakan orang awam sejak tiga ke empat tahun lepas. Saya biasa guna laluan itu kalau nak ke Lipis.

“Jika dibandingkan dengan jalan lama, memang dapat menjimatkan masa walaupun jaraknya lebih jauh sedikit berbanding jalan lama,” katanya ketika ditemui.

Katanya, jalan lama agak berbukit menyebabkan pengguna terpaksa melalui satu kawasan berbahaya di laluan Bukit Tujuh yang mana kerap berlaku kemalangan di lokasi itu.

Artikel Berkaitan:

Pemandu bas, M Sivaraj pula berkata, laluan lebuh raya baharu itu memudahkan pengguna berbanding jalan lama yang berbukit dan sempit.

“Saya menggunakan lebuh raya baharu jika ada perjalanan ke Kota Bharu atau Terengganu. Bagi saya dari segi keselamatan penumpang jalan lama agak berisiko berbanding lebuh raya baru yang lebih selesa.

“Bagaimanapun buat masa ini satu-satunya hentian rehat dan rawat (R&R) hanya terdapat di Gua Musang iaitu di jalan lama. Lebuh raya baharu tiada kemudahan itu. Kalau ada R&R lagi bagus. Perjalanan dari Padang Tengku ke Merapoh mengambil masa kira-kira sejam namun tiada R&R disediakan,” katanya.