X

Kindly register in order to view this article
!

Model perpaduan acuan Kelantan

A
A

NEGERI Kelantan boleh dianggap negeri perpaduan contoh di Semenanjung Malaysia. Masyarakat Melayu adalah kumpulan kaum terbesar di Kelantan iaitu seramai 1,639,646 (95.9 peratus) daripada keseluruhan penduduk Kelantan pada tahun 2015.

Masyarakat Cina hanya berjumlah 54,754 orang iaitu 3.2 peratus tetapi mereka tetap dapat hidup dengan aman damai walaupun sebagai minoriti.

Apabila Pas memenangi pilihan raya umum di Kelantan pada tahun 1990 dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam᾿, parti tersebut berusaha melaksanakan janji mereka untuk memberi hak kepada bukan Islam yang merangkumi lima aspek utama iaitu kebebasan beragama, kebebasan dalam adat dan tradisi, kebebasan dalam kekayaan ekonomi, jaminan keadilan dan hak mengamalkan kebudayaan dan bahasa.

Pada peringkat awal, bukan mudah masyarakat bukan Islam untuk menerima pemerintahan sebuah kerajaan Islam.

Mungkin mereka banyak dihidangkan dengan persepsi bahawasanya Pas ialah parti yang ekstrem dan mengamalkan diskriminasi terhadap orang bukan Islam.

Apa yang mereka risaukan ketika itu ialah ancaman terhadap budaya, agama dan ekonomi mereka.

Lama-kelamaan persepsi itu mula berubah kerana pendekatan Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan yang menganggap semua kaum sebagai rakyat beliau dan ini memikat hati orang bukan Islam.

Nik Aziz menegaskan bahawa Islam tidak memaksa orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam, malah mengiktiraf keharmonian beragama dan berbudaya atas asas saling menghormati dalam negeri yang didiami bersama.

Itulah konsep hubbul watan iaitu cintai tanah air yang diperkenalkan oleh Nik Aziz. Orang bukan Islam digalakkan menyertai majlis kebesaran Islam dan program-program rasmi kerajaan.

Selain itu, orang bukan Islam juga dibenarkan memasuki masjid bagi melihat sendiri dengan lebih dekat tatacara ibadah umat Islam.

Sebagai contoh, masyarakat Cina di Kampung Joh, Machang turut bergotong-royong memasak bubur asyura sesama mereka dan ada juga masyarakat Cina di tempat lain turut memasak bubur asyura bersama masyarakat Melayu setempat.

Jika anda mahu melihat orang Melayu minum di kedai kopi milik peniaga Cina, anda boleh melihatnya di Kelantan.

Kedai kopi peniaga Cina di Kelantan biasanya mempunyai pelayan atau tukang masak orang Melayu.

Ada juga mengamalkan kerjasama perniagaan yang unik dengan pemilik kedai kopi menyediakan kopi Hainan yang beraroma, manakala peniaga Melayu pula menjual makanan padang atau nasi berlauk.

Selain itu, Nik Aziz selaku Menteri Besar telah membenarkan pembinaan rumah ibadat bukan Islam yang baharu seperti di Tumpat dan Bachok serta mengekalkan rumah-rumah ibadat sedia ada.

Sebagai pemimpin tertinggi kerajaan dan tokoh ulama tersohor di Kelantan, Nik Aziz turut hadir dan masuk ke rumah ibadat bukan Islam seperti Wat orang Siam bagi meraikan program kemasyarakatan yang berkait dengan upacara kebudayaan, bukannya aktiviti ritual keagamaan.

Dasar yang sama diteruskan oleh Menteri Besar Kelantan sekarang, Datuk Ahmad Yaacob.

Sikap toleransi serta prinsip saling menghormati dalam kalangan pemimpin dan juga rakyat merupakan elemen besar dalam memupuk perpaduan di Kelantan.

Itulah inti pati asas yang kukuh yang membawa kepada keutuhan perpaduan rakyat Kelantan.

Model perpaduan acuan Kelantan ini boleh ditiru negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia demi kepentingan perpaduan nasional.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pengimejan Kraniofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!