McPhee kurang bernasib baik

McPhee gagal menamatkan perlumbaan apabila terjatuh pada pusingan terakhir di Litar Red Bull Ring hari ini. - Petronas SRT
McPhee gagal menamatkan perlumbaan apabila terjatuh pada pusingan terakhir di Litar Red Bull Ring hari ini. - Petronas SRT
A
A
A

PELUMBA Moto3 Petronas Yamaha SRT, John McPhee gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Styria apabila terjatuh pada pusingan terakhir di Litar Red Bull Ring, hari ini.

Setelah menaiki podium pada GP Austria di litar sama minggu lalu, insiden berkenaan nyata mengecewakan McPhee yang memulakan perlumbaan pada barisan kedua.

Mengulas insiden berkenaan, McPhee berkata, ia berpunca daripada kesilapannya sendiri yang gagal mengawal jenteranya pada pusingan berkenaan.

Justeru menurut pelumba berusia 26 tahun itu, dia memohon maaf kepada pasukannya terutamanya kakitangan teknikal.

“Saya minta maaf terutamanya kepada pasukan kerana ia adalah salah saya sendiri. Saya berada dalam garisan dan cuba menunggang dengan sedikit defensif seperti yang sering saya lakukan di sepanjang perlumbaan.

“Semuanya berlaku dengan pantas dan selekoh itu agak licin akibat kerja-kerja pembersihan yang dilakukan di situ bagi membersihkan tumpahan minyak.

“Bagaimanapun perlumbaan berlangsung dengan baik, tetapi saya gagal untuk terus berada kelompok pelumba di kelompok hadapan dan akhirnya terjatuh," katanya sejurus tamat perlumbaan.

Sementara itu, McPhee berkata, dia berazam kembali bangkit menebus kekecewaannya di GP San Marino 13 September depan.

Artikel Berkaitan:

Malah menurutnya, pada perlumbaan di Litar Misano itu dia akan berusaha menaiki podium sekali lagi dan malah mungkin akan cuba untuk memenangi perlumbaan.

“Enjin jentera saya menunjukkan sedikit peningkatan pada perlumbaan kali ini, namun saya agak kesal kerana gagal 'menghadiahkan' kemenangan kepada pasukan.

“Apa pun kami akan kembali dengan lebih bertenaga pada GP San Marino nanti,” katanya

McPhee kini berada pada tangga kedua dalam siri Kejuaraan Dunia dengan mengumpul 67 mata.