Bantuan Penjana ditolak: Ibu tunggal boleh mohon semula

Siti Zailah
Siti Zailah
A
A
A

GUA MUSANG - Ibu tunggal yang permohonannya untuk mendapatkan bantuan sekali gus (one off) sebanyak RM300 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang ditolak boleh membuat permohonan semula sebelum 31 Oktober ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sejak permohonan dibuka Julai lepas hanya 25,000 permohonan diluluskan dan selebihnya ditolak berikutan maklumat tidak lengkap seperti tidak mengemukakan surat perceraian dan dokumen kematian suami.

“Ibu tunggal di seluruh negara jangan mudah berputus asa apabila permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan Penjana ditolak, mereka masih berpeluang mengemukakan permohonan baharu dengan segera.

“Pemohon boleh merujuk kepada Jabatan Pembangunan Wanita di bawah kementerian bagi mendapat penjelasan mengenai status permohonan mereka,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Turun Padang kementerian itu di Dewan Serbaguna, Ladang Sungai Terah di sini hari ini.

Siti Zailah berkata Penjana menyasarkan untuk membantu 150,000 ibu tunggal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: