Bersatu Pokok Sena beri sokongan padu kepada Muhyiddin

Muhammad Amri
Muhammad Amri
A
A
A

POKOK SENA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pokok Sena tidak tergugat dengan tindakan sebahagian kecil ahlinya bertindak keluar parti baru-baru ini.

Ketua Bahagian Bersatu Pokok Sena, Muhammad Amri Wahab berkata, tindakan kumpulan tersebut bukan sahaja dapat 'membersihkan' parti daripada anasir yang mempunyai kepentingan tertentu malah membuka mata banyak pihak yang tampil menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

Katanya, sejak dilantik menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin telah menunjukkan contoh sebenar seorang pemimpin negara yang sentiasa mementingkan agenda pembangunan rakyat di semua peringkat.

"Pelbagai bantuan disalurkan di semua peringkat ketika wabak koronavirus (Covid-19) melanda negara menunjukkan beliau prihatin terhadap keperluan rakyat. Jadi, tiada sebab untuk ahli parti tidak menyokong kepimpinan beliau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mesyuarat Bersatu bahagian yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Pokok Sena semalam dihadiri seramai 251 daripada 267 perwakilan atau 94 peratus.

"Ia membuktikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa Bersatu bahagian telah terbubar tidak benar sama sekali malah tiada cawangan yang terbubar," katanya.

Artikel Berkaitan: