Royalti minyak, balak dua isu berbeza: Azmin

Azmin (belakang, tiga, kiri) dan Zuraida merasmikan pelancaran 3R di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer, Ampang, hari ini.
A
A

AMPANG - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bidas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung isu royalti minyak dan pembalakan.

Menurutnya, Kelantan tidak boleh menggunakan isu royalti minyak sebagai alasan merosakkan persekitaran.

“Ia dua perkara yang berbeza, royalti sudah kita nyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan akur kepada peruntukan undang-undang.

“Tetapi soal pembalakan ia melibatkan hal persekitaran yang kita mahu semua negeri bukan sahaja Kelantan dibangunkan tetapi persekitaran juga mesti dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pelancaran 3R on Wheels dan kad mesra yang turut dihadiri Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Mohamed Azmin berkata, isu pembayaran royalti yang meningkat dari lima ke 20 peratus masih pada peringkat perbincangan.

“Memang kita bayar royalti kepada kerajaan negeri Terengganu, Kelantan cuma sebelum ini kita membayar lima peratus tetapi dalam manifesto kita akan tingkatkan 20 peratus tertakluk kepada perbincangan dengan kerajaan negeri.

“Akta Pembangunan Petroleum 1974 menjelaskan pembayaran tunai (royalti) mesti dengan persetujuan kedua-dua pihak (Kerajaan Persekutuan dan negeri). Kalau kedua-dua setuju, maka cepatlah perbincangan selesai,” katanya.

Rabu lalu, Mohd Amar semasa Mesyuarat Sambutan Hari Murabbi Ummah memaklumkan Kerajaan Kelantan bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Menurutnya, pembayaran royalti dianggarkan RM700 juta setahun itu lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan berbanding RM100 juta setahun hasil daripada aktiviti pembalakan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia