Pharmaniaga sedia buat perubahan kilang untuk vaksin Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pharmaniaga Bhd bersedia untuk membuat perubahan yang diperlukan kepada kilang sedia ada yang akan membolehkan mereka menjalankan proses pembangunan pembotolan untuk vaksin koronavirus (Covid-19) apabila ia dibangunkan.

Pemangku Pengarah Urusannya, Mohamed Iqbal Abdul Rahman berkata, kumpulan telah membentangkan kepada Majlis Sains Negara mengenai pelan, kapasiti dan keupayaannya untuk tujuan tersebut.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka pendek kumpulan untuk menangani keperluan mendesak kepada vaksin Covid-19,” katanya dalam jawapan bertulis mengenai pelan masa depan Pharmaniaga.

Bulan lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan bersetuju bahawa kemudahan yang dimiliki oleh Duopharma Biotech Bhd dan Pharmaniaga akan digunakan untuk pembotolan vaksin.

Khairy dilaporkan menjelaskan bahawa kedua-dua syarikat itu dipilih berikutan kedua-duanya berkaitan dengan kerajaan iaitu Duopharma dimiliki oleh Permodalan Nasional Bhd dan Pharmaniaga dimiliki oleh Boustead Holdings Bhd dan pada masa ini mempunyai kapasiti yang tidak digunakan yang dapat diarahkan untuk tujuan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: