Mekanik terpaksa gantung sepana, tangan disambar api

Mohd Nor terpaksa berhenti melakukan kerjanya sebagai mekanik buat sementara waktu selepas kedua belah tangannya melecur akibat disambar api ketika membaik pulih sebuah van di Kampung Tasek Garu, Bukit Pak Junoh.
Mohd Nor terpaksa berhenti melakukan kerjanya sebagai mekanik buat sementara waktu selepas kedua belah tangannya melecur akibat disambar api ketika membaik pulih sebuah van di Kampung Tasek Garu, Bukit Pak Junoh.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang mekanik terpaksa 'menggantung sepana' buat sementara waktu selepas kedua belah tangannya melecur akibat disambar api ketika sedang berusaha membaiki sebuah van di Kampung Tasek Garu, Bukit Pak Junoh di sini.

Berkongsi semula detik cemas itu, Mohd Nor Deraman, 60, berkata, kejadian yang dianggap sepantas kilat itu berlaku kira-kira jam 1 petang pada 16 Ogos lalu.

Katanya, ketika itu dia sedang membaiki van seorang diri dan tiba-tiba berlaku kebakaran dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian pada kenderaan tersebut.

"Sebaik sahaja disambar api saya terus mencari ais dan memasukkan kedua belah tangan yang melecur ke dalam tong ais sebagai rawatan awal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, selepas setengah jam merendam kedua-dua belah tangan yang melecur itu, dia terus ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan susulan.

Akibat kejadian itu, Mohd Nor luka hampir 70 peratus di kedua belah tangannya selain cedera di leher dan muka.

"Ini merupakan kali pertama saya mengalami kecederaan teruk sepanjang 42 tahun bekerja sebagai mekanik tetapi tetap bersyukur kerana tidak meragut nyawa dan van pelanggan juga tidak terbakar," katanya.

Mohd Nor turut berdoa supaya diberikan kesembuhan supaya dapat kembali bekerja untuk menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada tujuh cahaya mata yang berusia antara 24 hingga tujuh tahun itu difahamkan terpaksa berehat hampir enam bulan sebelum dapat kembali menjalankan tugas sebagai mekanik.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh salurkan sumbangan kepada akuan Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama anaknya, Norshahira Mohd Nor (anak Mohd Nor) 03-995-41-00032-645-7.