'Rakyat Pulau Pinang akan hukum PN nanti'

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan dihukum pengundi Pulau Pinang pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) kerana didakwa membatalkan dua projek pembangunan di negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pembatalan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bernilai RM800 juta dan projek Kereta Kabel Bukit Bendera (PHCC) bernilai RM100 juta itu disifatkan sebagai dendam politik.

Menurutnya, pembatalan kedua-dua projek itu dibuat tanpa sebab logik selepas dibentangkan dalam Belanjawan 2020 tahun lalu.

"Semasa pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen tahun lalu, saya mengumumkan projek bagi memenuhi kapasiti penumpang yang berlebihan di LTAPP dan PHCC.

"Bagaimanapun, tiada sebab logik dan sahih diberikan atas pembatalan oleh kerajaan PN sekarang sedangkan Malaysia Airports sendiri sudah menghantar rancangan pembangunan untuk LTAPP yang dipersetujui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)," katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Lapan Cabang DAP di Kawasan Ahli Dewang Undangan (KADUN) Air Putih semalam.

Katanya, terdapat keperluan mendesak untuk membesarkan LTAPP kerana menghadapi lebihan penumpang sebanyak 28 peratus yang menjadikannya lapangan terbang antarabangsa paling sesak di Malaysia.

"LTAPP dibina untuk 6.5 juta penumpang iaitu lebih daripada 8.3 juta penumpang pada tahun 2019. Oleh kerana LTAPP menjana keuntungan.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia Airports berhasrat membiayai RM800 juta kos projek pembesaran daripada 6.5 juta kepada 12 juta penumpang, kerana jangkaan kadar pulangan pelaburan yang tinggi," katanya,

Guan Eng berkata, projek pembesaran LTAPP adalah projek menang-menang kepada Malaysia Airports dan negara, malah seharusnya tidak menjadi mangsa politik balas dendam dan manipulasi.

"Malangnya, PN dan Kementerian Pengangkutan mengambil keputusan secara terburu-buru yang tidak bertanggungjawab menangguhkan keputusan tersebut sehingga 2023," katanya.

Menurutnya, alasan penularan wabak Covid-19 yang diberikan tidak masuk akal melainkan jika kerajaan PN percaya bahawa wabak global ini masih akan mempengaruhi ekonomi global pada tahun 2023.

"Selain dua projek tersebut (LTAPP dan PHCC), pengumuman cadangan kajian semula pengurangan tol Projek Lebuhraya Utara (PLUS) oleh Pakatan Harapan (PH) sebanyak 18 peratus juga adalah politik dendam PN.

"Potongan tol 18 peratus untuk semua lebuh raya PLUS memberi banyak faedah kepada warga Pulau Pinang. Tol di Jambatan Pulau Pinang, dikurangkan daripada RM7 kepada RM5.74.

"Sementara itu, mereka yang mempunyai kad diskaun 20 peratus hanya perlu membayar RM4.59. Bagi pengguna Jambatan Abdul Halim Muadzam Shah tol RM8.50 kini dikurangkan kepada RM5.74, penjimatan hampir RM3," katanya.

Katanya, manfaat potongan tol sebanyak 18 peratus itu tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kerajaan PH.

"Dalam usaha balas dendam politik, kerajaan PN dan Kementerian Pengangkutan mahu menarik semula semua perkara baik yang dilakukan PH untuk rakyat Pulau Pinang dan Malaysia.

"Pengundi Pulau Pinang tidak akan mudah melupakan dan memaafkan kerajaan PN dan penyokongnya dalam pilihan raya akan datang," katanya.