Kedah tubuh jawatankuasa teknikal percepat projek KXP

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) bersama wakil Yayasan Petronas selepas majlis penyerahan sumbangan kepada 300 keluarga B40 terjejas di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) bersama wakil Yayasan Petronas selepas majlis penyerahan sumbangan kepada 300 keluarga B40 terjejas di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah telah menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi mempercepatkan cadangan pembinaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kelmarin.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jawatankuasa teknikal tersebut ditubuhkan dalam pertemuan antara delegasi kerajaan negeri bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya.

Muhammad Sanusi berkata, jawatankuasa teknikal itu akan dianggotai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang mewakili kerajaan Kedah dan Kementerian Pengangkutan.

"Jawatankuasa teknikal terbabit akan membuat syor dan menerangkan dengan teliti proses supaya kertas kerja akan diangkat sekali lagi ke Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

"Selepas dapat nasihat MPFN, barulah kita akan masuk, Kementerian Pengangkutan akan buat kertas kerja untuk bentangkan di Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Yayasan Petronas kepada 300 keluarga B40 terjejas di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, projek pembinaan KXP yang dicadangkan terbabit hanya boleh dimulakan apabila mendapatkan kelulusan daripada Kabinet.

"Jadi kerajaan negeri telah memberi penjelasan secara terperinci perancangan dilakukan KXP Airport City Holdings dan membentangkan kajian dilakukan perunding dalam pertemuan pada Jumaat lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri telah mengutarakan hasrat untuk menjadikan projek itu teratas dalam senarai-senarai projek berimpak tinggi untuk melonjak pendapatan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setiap kertas kerja dikehendaki mendapatkan nasihat dan kelulusan daripada MPFN terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet.

"Bagaimanapun, kertas kerja ini tidak dapatkan dibentangkan dalam mesyuarat MPFN sebelum ini disebabkan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) belum dimuktamadkan Kementerian Pengangkutan," katanya.