Doakan Mufti Perak cepat sembuh

Harussani
Harussani
A
A
A

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di sini awal pagi tadi selepas mengalami strok.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin yang mengesahkan perkara itu berkata, Harussani dikejarkan ke hospital selepas solat Subuh pagi tadi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diberikan Jabatan Mufti Perak setakat ini, Harussani masih lagi dirawat di hospital berkenaan dalam pemantauan rapi.

"Saya menyeru seluruh rakyat Perak dan rakyat di seluruh negara mendoakan kesejahteraan Tan Sri Mufti yang kita sayangi.

"Kita mengharapkan agar beliau segera sembuh kerana khidmat beliau masih lagi diperlukan di negeri ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Akmal berkata, Harussani memerlukan rehat dan diharap orang ramai teruskan berdoa agar beliau diberikan kesembuhan.

Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Antara jawatan disandang termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak dan sebagainya.

Artikel Berkaitan: