Nafuzi lega jadual baharu Liga-M tidak padat

Nafuzi (kiri) ketika memberikan arahan dari tepi padang kepada pemainnya pada perlawanan berkenaan. Foto: FB Terengganu FC
Nafuzi (kiri) ketika memberikan arahan dari tepi padang kepada pemainnya pada perlawanan berkenaan. Foto: FB Terengganu FC
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui lega dengan jadual baru saingan CIMB Liga Super yang menyaksikan jarak tempoh sehingga tujuh hari bagi setiap perlawanan.

Menurut Nafuzi, jadual baharu itu lebih efisien berbanding jadual sebelum ini kerana ia memberikan peluang kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk bersedia melakukan persiapan dengan lebih baik.

Malah menurutnya, tempoh tujuh hari itu akan turut memberikan peluang dan kesempatan untuk pemain-pemain pulih daripada kecederaan.

“Saya rasa jadual kali ini lebih baik berbanding jadual sebelum ini. Tempoh ini juga berikan peluang untuk lakukan persiapan betul-betul dan pemain pemain benar-benar pulih,” katanya sejurus tamat aksi CIMB Liga Super berdepan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Untuk rekod, jadual sebelum ini hanya memperuntukkan tempoh hanya selama empat hari bagi setiap perlawanan.

Dalam pada itu Nafuzi berkata, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh kesebelasan skuad Peteh itu bagi mengharungi baki perlawanan musim ini.

Katanya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah dari segi kecergasan pemain serta memantapkan lagi benteng pertahanan pasukan.

“Setelah empat bulan tinggalkan bola sepak selain tiada sebarang perlawanan kompetitif, kita perlu berikan tumpuan kepada aspek kecergasan pemain.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita tahu kelemahan kita adalah di benteng pertahanan dan itu kita kena baiki lagi kerana kita ada banyak lagi perlawanan selepas ini,” katanya.