Kerajaan kaji naikkan kadar kompaun atasi pencemaran

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan khas dan kit Covid-19 kepada Setiausaha PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 1, Mohd Nazri Awang dan Pengetua SMK Kubang Kerian 1, Kharani Sabtu (kanan) pada majlis di Grandara Hall, Pendek Kota Bharu hari ini.
Tuan Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan khas dan kit Covid-19 kepada Setiausaha PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 1, Mohd Nazri Awang dan Pengetua SMK Kubang Kerian 1, Kharani Sabtu (kanan) pada majlis di Grandara Hall, Pendek Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang menyemak akta sedia ada bagi mengenakan kadar kompaun yang jauh lebih tinggi terhadap pengilang yang dikaitkan dengan kes pencemaran di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kadar yang dikenakan sekarang ialah RM2,000 dilihat terlalu rendah dan tidak menakutkan pengilang kerana mereka mampu untuk membayarnya.

Menurutnya, selain dikenakan kompaun kementerian juga mengeluarkan amaran dan arahan supaya kilang yang terbabit dengan kes pencemaran ditutup dalam tempoh yang tertentu.

“Kita sedang semak akta sedia ada dengan kompaun asalnya RM2,000, terlalu rendah. Kita juga sedang semak apa undang-undang yang ada untuk naikkan lagi hukuman.

“Secara puratanya pada setiap bulan terdapat kilang yang ditutup terutamanya kilang membabitkan sawit dan getah,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan khas dan kit koronavirus (Covid-19) kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru dan Kelab Guru-Guru Sekolah-Sekolah Dalam Parlimen Kubang Kerian di Grandara Hall, Pendek Kota Bharu hari ini.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN), Datuk Ahmad Faisal Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memberi amaran kepada semua rakyat termasuk pengilang untuk tidak sewenang-wenangnya melakukan pencemaran termasuk juga negara luar.

Artikel Berkaitan:

Bertegas dalam memastikan masalah pencemaran dapat diatasi sebaik mungkin, Tuan Ibrahim berkata, beliau sesekali tidak akan membenarkan Malaysia menjadi tong sampah dunia.

“Kita tak benar. Kita tak mahu Malaysia dijadikan tong sampah dunia. Terutamanya negara yang maju ini kadangkala hantar plastik ke negara kita.

“Oleh itu kita haramkan plastik kecuali plastik jernih yang dibenarkan sahaja. Kita juga menjalankan pemeriksaan terhadap kontena yang sampai di pelabuhan dan apabila didapati mengandungi plastik kita akan hantar balik,” katanya.

Katanya, barang-barang yang tidak diperlukan itu kadangkala dijadikan bahan untuk kitar semula tetapi terdapat kesan kepada alam sekitar yang perlu diuruskan dengan baik.

Dalam pada itu, beliau berkata, hampir setiap hari pihaknya menerima aduan berkaitan pencemaran dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan rakyat dalam membantu kerajaan mengatasi masalah tersebut.