X

Kindly register in order to view this article
!

Penyertaan Azmin dalam Bersatu beri impak positif

Syed Agil Alsagoff
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi impak positif terhadap kewibawaan dan pengaruhnya dalam politik masa kini.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, namun bagi UMNO dan pengundi Mohamed Azmin di kawasan Parlimen Gombak keadaannya mungkin berbeza.

Menurutnya, ini kerana UMNO dan pengundi Mohamed Azmin di kawasan berkenaan sudah pasti menanti apakah penyertaan Ahli Parlimen Gombak itu ke dalam Bersatu akan memberi manfaat kepada mereka.

"Kenyataan beliau (Mohamed Azmin) terhadap UMNO Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dikatakan mengguris hati dalam kalangan ahli-ahli daripada parti itu di kawasan berkenaan.

"Sehubungan itu, Mohamed Azmin harus menilai kewibawaan dan keupayaannya jika mahu bertanding semula di kawasan Parlimen Gombak dengan mewakili Bersatu atau tempat lebih bersesuaian," katanya hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Mohamed Azmin serta sembilan lagi ahli Parlimen menyertai Bersatu yang dibuat di hadapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Kongres Negara 2020 semalam.

Turut menyertai bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ialah pimpinan kanan Penggerak Komuniti Negara, NOW, Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara.

Selain Mohamed Azmin, sembilan lagi ahli Parlimen lain ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Seri Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Syed Agil berkata, mungkin ada strategi dapat menambat hati pengundi Parlimen Gombak sekiranya bekas Timbalan Presiden PKR itu masih mahu bertanding di kawasan Parlimen yang sama.

"Dalam konteks PKR pula, Mohamed Azmin sekali lagi akan dihambat masalah apabila terpaksa berdepan dengan parti itu rentetan daripada 'melompat parti' ke Bersatu dan keluar Pakatan Harapan.

"Soalnya sekarang, apakah Mohamed Azmin akan meneruskan perjuangan politiknya di Gombak atau kawasan lain sangat bergantung kepada keupayaannya menjana pengaruh politiknya di situ," katanya.

Dalam pada itu katanya, nasib dan masa depan rakan-rakan Mohamed Azmin yang menyertai Bersatu juga sangat bergantung kepada tahap penerimaan pengaruh dalam kalangan pengundi di kawasan masing-masing.

Menurutnya, pendekatan strategi memulihkan persepsi pengundi terhadap kewibawaan dan prinsip politik mereka akan menjadi perhitungan sama ada pengundi masih boleh percaya dan menerima mereka untuk menerajui kawasan Parlimen ditandingi.

"Ia adalah suatu tugas yang berat bagi mereka untuk memulih dan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kewibawaan keperibadian calon wakil rakyat pada PRU15 dan bukan berfokuskan kepada parti semata-semata.

"Dalam konteks tersebut seperti Mohamed Azmin, rakan-rakan politiknya juga harus meninjau tahap penerimaan pengundi di kawasan masing-masing berikutan isu-isu berkaitan penghijrahan parti politik," katanya.

Di samping itu katanya, pelbagai kemungkinan, risiko dan cabaran harus dipikul kumpulan Mohamed Azmin itu jika mereka bersedia kekal atau berhijrah ke kawasan lain yang dapat menerima kewibawaan mereka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!