Kedah mohon PKPD Pentadbiran ditamatkan lebih awal

Muhammad Sanusi (tengah) melihat sebahagian barangan keperluan asas yang disumbangkan Yayasan Petronas untuk penduduk terjejas di kawasan PKPD Pentadbiran di Wisma Darul Aman hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) melihat sebahagian barangan keperluan asas yang disumbangkan Yayasan Petronas untuk penduduk terjejas di kawasan PKPD Pentadbiran di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran lebih awal di beberapa mukim terjejas akibat Kluster Sivagangga.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa mukim di Kedah dilaksanakan PKPD Pentadbiran sehingga 28 Ogos depan akibat penularan wabak daripada Kluster Sivagangga.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di kawasan dikenakan PKPD Pentadbiran telah selesai menjalani kuarantin dan kini dalam tempoh pemerhatian hingga Jumaat ini.

"Permohonan itu sudah dicadangkan ketika mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri sebelum dipanjangkan kepada KKM untuk membuat keputusan sewajarnya.

"Permohonan ini dibuat memandangkan kini tiada pertambahan kes baharu dikesan daripada Kluster Sivagangga setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Petronas kepada keluarga terjejas akibat PKPD Pentadbiran di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhamamd Sanusi berkata, Kedah kini berdepan cabaran baharu apabila terpaksa berhadapan dengan Kluster Tawar yang merebak hingga merentasi sempadan dan mencetuskan kebimbangan.

"Untuk Kluster Tawar, kita juga telah mengadakan mesyuarat bersama MKN peringkat negeri dengan mengemukakan beberapa syor kepada MKN Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa sekarang, kerajaan Persekutuan belum dapat memenuhi semua syor dikemukakan tetapi telah ada beberapa sekolah ditutup disebabkan ada guru dan pelajar positif koronavirus (Covid-19)," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah terlibat seperti Kulim, Baling dan Sungai Petani diminta terus mengetatkan prosedur standard operasi (SOP) demi memutuskan rantaian Covid-19.

"Kita bukanlah sengaja hendak menyusahkan orang awam tetapi demi kemaslahatan umum maka pergerakan perlu dihadkan dan kesesakan perlu dielakkan,"katanya.

Katanya, buat masa ini tindakan dibuat di bawah bidang kuasa PBT terlebih dahulu sehingga MKN memutuskan langkah perlu diambil.

Dalam pada itu, ketika mengulas sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah perlu melalui ujian saringan Covid-19, Muhamamd Sanusi berkata, tiada keperluan untuk ADUN Kedah menjalani ujian saringan Covid-19 buat masa ini.

"Tidak perlu, ADUN tidak berada di kawasan terbabit dan tidak ada kontak rapat dengan pesakit positif," katanya.