X

Kindly register in order to view this article
!

RM10 juta untuk petani bandar

Che Abdullah melihat alat siram tanaman dari barangan terbuang yang direka oleh petani di kawasan bandar di Tumpat.
A
A

TUMPAT - Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi pembangunan Projek Pertanian Bandar di seluruh negara melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu bertujuan membantu rakyat atau petani bandar bangkit meneruskan kelangsungan hidup selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat koronavirus (Covid-19).

Katanya, menerusi projek bimbingan Jabatan Pertanian itu, isi rumah dapat menghasilkan bahan makanan yang lebih berkualiti dan selamat selain meringankan kos sara hidup.

“Konsep pertanian bandar ini membolehkan mereka yang tidak mempunyai tanah luas bercucuk tanam dibantu teknologi moden serta bahan terbuang,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Program Pertanian Bandar di bawah Penjana bagi Parlimen Tumpat di pekarangan Masjid An-Nur di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Kelantan Norbahani Zakaria.

Tanaman yang dihasilkan peserta tumbuh segar dan dijamin selamat serta terjaga rapi daripada serangan serangga perosak.
Tanaman yang dihasilkan peserta tumbuh segar dan dijamin selamat serta terjaga rapi daripada serangan serangga perosak.

Terdahulu, beliau menyampaikan penyerahan bantuan bernilai RM300,000 kepada sejumlah 462 individu dan lapan komuniti di daerah Tumpat.

Beliau berkata, daripada keseluruhan peruntukkan RM10 juta itu dianggarkan dapat memberi manfaat kepada 800 komuniti dan 12,000 individu yang menyertainya.

“Projek itu juga adalah sebagai pelengkap kepada pembangunan bandar secara keseluruhan yang melibatkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Di Kelantan, sebanyak RM900,000 diperuntukkan untuk dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini yang dianggarkan akan melibatkan seramai 3,697 orang petani bandar dan luar bandar di 106 lokasi,” katanya.

Tambah beliau, bantuan seperti benih, baja, infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan lain-lain diberikan dengan nilai RM500 bagi penerima individu dan maksimum sehingga RM50,000 bagi setiap komuniti yang layak bergantung kepada keperluan.

“Kajian impak Program Pertanian Bandar ini oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2017 mendapati berhasil menjimatkan kos sara hidup yang dianggarkan sebanyak RM108 sebulan.

“Pelaksanaan projek pertanian bandar turut memberi peluang pekerjaan dan menjana pendapatan tambahan khususnya penduduk bandar dan pinggir bandar yang terkesan selepas pelaksanaan PKP akibat penularan Covid-19,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!