Majlis perkahwinan pandu lalu

Kira-kira 200 bungkus makanan diedarkan secara pandu lalu kepada tetamu.
Kira-kira 200 bungkus makanan diedarkan secara pandu lalu kepada tetamu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Sepasang pengantin di Kampung Berapit, Tikam Batu di sini hari ini diraikan dalam majlis perkahwinan secara pandu lalu bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ibu pengantin perempuan, Rosmizah Osman, 50, berkata, dia bersyukur majlis perkahwinan anaknya, Muhammad Hafizuddin Jamal, 22, bersama pasangannya, Nor Baitie Adlin Mohamad Fuzi, 21, hari ini berjalan lancar walaupun persiapan dilakukan saat akhir.

Menurutnya, pada majlis berkenaan, tetamu yang hadir disediakan makanan secara pandu lalu tanpa perlu turun dari kenderaan sebagai tanda meraikan pengantin.

Pasangan pengantin meraikan hari bersejarah dalam keadaan normal baharu.
Pasangan pengantin meraikan hari bersejarah dalam keadaan normal baharu.

"Kira-kira 200 bungkus makanan diedarkan secara pandu lalu kepada tetamu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Hanya ahli keluarga meraikan pasangan pengantin secara dekat," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, ahli keluarga yang hadir pula diminta melakukan imbasan kod respons pantas (QR Code) melalui aplikasi MySejahtera, membuat pendaftaran butir diri, memeriksa suhu badan, memakai pelitup muka dan mematuhi jarak fizikal.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddin yang bekerja di sebuah syarikat swasta berkata, tarikh pernikahannya sudah dua kali dipinda berikutan penularan Covid-19 di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya terkejut dihubungi pihak Jabatan Agama semasa sedang bekerja pada Rabu lalu untuk bersedia melaksanakan proses akad nikah.

Bapa pengantin perempuan, Mohamad Fuzi Daud, 55, dan isteri, Rosmanizah (kanan) meraikan pasangan pengantin di rumah mereka dekat Kampung Berapit, Tikam Batu, Kedah.
Bapa pengantin perempuan, Mohamad Fuzi Daud, 55, dan isteri, Rosmanizah (kanan) meraikan pasangan pengantin di rumah mereka dekat Kampung Berapit, Tikam Batu, Kedah.

"Kami diminta bersiap sedia untuk akad nikah pada malam itu juga. Walaupun persiapan dibuat saat akhir, alhamdulillah semuanya lancar," katanya.

Nor Baitie Adlin berkata, pakaian bersanding dipakai pada majlis ini baru dibeli semalam.

"Baju yang ada sudah dipakai untuk malam akad nikah kerana perancangan awal majlis akad dan bersanding dibuat serentak pada hari sama.

"Selepas akad nikah berlangsung Rabu lalu, maka majlis bersanding berlangsung pada hari ini," katanya.