Parkir percuma pupuk semangat cintakan negara

Gambar kiri: Anaz AbMoris.Program parkir percuma yang ditawarkan MPK mendapat reaksi positif daripada warga Kuantan.
Gambar kiri: Anaz AbMoris.Program parkir percuma yang ditawarkan MPK mendapat reaksi positif daripada warga Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menawarkan parkir percuma kepada orang ramai yang memasang Jalur Gemilang disifatkan sebagai usaha memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan penduduk daerah ini.

Rata-rata warga Kuantan menyambut positif usaha MPK dalam menyemarakkan Hari Kemerdekaan meskipun negara masih lagi berdepan dengan wabak koronavirus (covid-19).

Pengerusi Pertubuhan Anak Muda Teruntum (Permat), Anaz AbMoris berkata, pihaknya menyambut baik usaha MPK dalam memupuk perpaduan dan semangat cintakan negara melalui program parkir percuma.

Menurutnya, program itu menggalakkan warga Kuantan untuk memasang bendera pada kenderaan masing-masing sempena Bulan Kemerdekaan.

"Ini adalah usaha positif MPK untuk lebih dekat dengan rakyat terutama warga Kuantan selain memupuk budaya cintakan tanah air dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

"Jadi, kita sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili anak muda di Kuantan bersedia untuk bekerjasama dan memberikan sokongan kepada MPK dalam menyemai semangat cintakan negara," katanya kepada Sinar Harian di bandar Kuantan hari ini.

Kelmarin, MPK mengumumkan tawaran parkir percuma kepada orang ramai yang memasang Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing bermula 24 hingga 31 Ogos ini.

Bagaimanapun, tawaran parkir percuma itu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu Jalur Gemilang pada kenderaan perlu mengikut saiz dan cara pemasangan yang ditetapkan seperti Bendera tidak pudar atau koyak.

Artikel Berkaitan:

Anaz berkata, MPK adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pertama melaksanakan program itu dan wajar dicontohi PBT lain bagi menyemarakkan Hari Kemerdekaan.

Sementara itu, penduduk, Mohd Fakri Azuan Mohamed Tajuddin, 43, berkata, dia menyambut baik program yang sedang dilaksanakan MPK.

"Saya teruja dengan tawaran MPK ini dan hari ini (semalam) saya sudah membeli bendera untuk dipasang pada kenderaan.

"Tawaran ini juga dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan kerana Jalur Gemilang bukan sahaja dikibarkan pada kenderaan malah di premis perniagaan dan rumah," katanya.

Aishah Rafidah Alias, 34, pula berkata, usaha MPK itu adalah baik dan perlu dilaksanakan setiap tahun terutama pada bulan Ogos.

"Bila ada program begini pasti orang ramai tidak akan lepaskan peluang tapi kalau boleh program ini diadakan sehingga 16 September sempena sambutan Hari Malaysia," katanya.