Dua lelaki Myanmar ditahan bersama dadah

Syabu antara dadah yang dirampas dari suspek dalam operasi sejak Khamis lalu.
Syabu antara dadah yang dirampas dari suspek dalam operasi sejak Khamis lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Dua lelaki warga Myanmar dan seorang warga tempatan ditahan polis dalam Ops Tapis yang dijalankan bermula jam 9 malam, Khamis lalu hingga awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga suspek berusia 28, 39 dan 45 tahun itu ditahan di tiga lokasi berbeza di sekitar Butterworth.

Menurutnya, suspek pertama yang merupakan lelaki Myanmar ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Chaib Ferry dan polis merampas 54.6 gram syabu dan 4.8 gram ganja.

"Suspek kedua yang juga warga Myanmar ditahan di sebuah rumah di Taman Melati, Butterworth. Kita berjaya merampas 209 gram heroin dan 10 gram syabu daripadanya.

"Sementara itu, seorang lelaki warga tempatan ditahan di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Bagan Ajam dan kita merampas 51gram syabu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Noorzainy berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM20,500.

"Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas adalah untuk dijual kepada penagih dadah di kawasan Butterworth dan Mak Mandin. Ujian saringan air kencing kesemua suspek positif dadah.

"Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(1, Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: