Lima parti termasuk kompenan BN sertai pendaftar PN

Mohamed Azmin pada sidang akhbar hari ini.
Mohamed Azmin pada sidang akhbar hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Lima parti termasuk komponen Barisan Nasional (BN) menyertai pendaftaran rasmi Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, gabungan itu turut disertai beberapa parti komponen BN.

Tanpa mendedahkan nama parti yang terlibat, beliau berkata, perkembangan dan status permohonan PN kepada ROS itu akan diumumkan lebih lanjut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

"Setakat hari ini, jumlah dalam pendaftaran ROS ialah lima. Selain Bersatu ada empat yang lain.. itu nantilah Perdana Menteri akan umum.

"Selain Pas ada juga komponen BN tetapi (kemasukan) mereka bukan atas nama BN, ia mewakili parti yang berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa UMNO tidak menyertai PN sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dan komponen BN.

Ditanya kedudukan anggota parti lain yang tidak menyertai pendaftaran PN itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya terbuka dalam perkara itu kerana matlamat mereka tetap sama iaitu memastikan sebuah kerajaan yang stabil.

Artikel Berkaitan:

"Matlamat dan prinsip yang kita pegang ialah memastikan kerajaan PN ini stabil supaya dapat menjamin keutuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang telah mengesahkan penyertaan rasmi dalam Bersatu itu berkata, keutamaan kerajaan hari ini ialah mengukuhkan semangat perpaduan ahli dan komponen PN serta yang bersama menyokong kerajaan PN.

"Melalui keutuhan perpaduan kita dapat menyelesaikan banyak krisis besar dalam beberapa bulan ini sama ada politik, ekonomi dan kesihatan.

"Dunia juga mengakui kepimpinan perdana menteri di bawah kerajaan PN merupakan pentadbiran terbaik dalam menguruskan usaha pemulihan ini," katanya.