Kanak-kanak maut, lima parah nahas tiga kenderaan

Keadaan Perodua Alza dan Toyota Corolla yang remuk dalam kemalangan di Kilometer 32.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Penjara Marang, Marang, Terengganu petang semalam.
Keadaan Perodua Alza dan Toyota Corolla yang remuk dalam kemalangan di Kilometer 32.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Penjara Marang, Marang, Terengganu petang semalam.
A
A
A

MARANG - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak maut manakala lima lagi parah selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 32.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Penjara Marang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.25 petang itu, mangsa, Fakhrullah Mohd. Fadili, 10, yang menaiki Perodua Alza meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat yang lain dalam kenderaan sama cedera parah.

Lima mangsa yang parah melibatkan empat ahli keluarga Fakhrullah iaitu bapanya, Mohd Fadili Mohamad, 38; Noor Wahida Mamat @ Adam, 41 (ibu); Ainul Mardhiah Najihah, 8 serta Muhammad Thaqif Naufal, 4.

Seorang lagi mangsa yang turut parah ialah pemandu kereta Toyota Corolla, Mohd.Azwarin Ahmed, 39.

Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Mohd Azwarin dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga itu.

Beliau berkata, sebelum kejadian, kereta Mohd Fadili berada di belakang Toyota Wish yang dipandu lelaki berusia 44 tahun.

Bagaimanapun, pemandu Toyota Wish dapat mengelak kereta Mohd Azwarin hingga terbabas di bahu jalan dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan Perodua Alza yang dipandu Mohd Fadili tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta yang dipandu Mohd Azwarin dari arah bertentangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zain berkata, kesemua mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Sultanan Nur Zahirah (HSNZ) dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.