APMM Perlis patahkan cubaan seludup 360kg daun ketum

APMM berjaya mematahkan cubaan menyeludup 36 bungkus daun ketum seberat 360 kilogram ke negara jiran, di perairan Kuala Perlis, semalam.
APMM berjaya mematahkan cubaan menyeludup 36 bungkus daun ketum seberat 360 kilogram ke negara jiran, di perairan Kuala Perlis, semalam.
A
A
A

KUALA PERLIS - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 36 bungkus daun ketum seberat 360 kilogram ke negara jiran, di perairan Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, ketika rondaan Op Benteng, APMM mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke sempadan negara jiran pada kedudukan 0.1 batu nautika dari muara Kuala Perlis, pada jam 3.15 petang semalam.

“Menyedari kehadiran APMM, bot tersebut cuba melarikan diri, namun berjaya dipintas.

“Seorang tekong dan seorang awak-awak bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan, APMM menemui 36 bungkusan yang disyaki mengandungi daun ketum bernilai kira-kira RM3,600.

Mohd Shafie berkata, selain daun ketum, APMM turut merampas sebuah bot gentian berserta enjin sangkut bergalah dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28,700.

“Semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan daun ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“APMM akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim,” katanya sambil meminta orang ramai segera melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim di perairan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Aduan atau panggilan kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. - Bernama