Peguam dakwa tribunal siasat enam anggota SPR tidak sah

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas menubuhkan sebuah tribunal bagi menyiasat enam Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah dan tidak berlandaskan perlembagaan negara kerana ke semua anggota terbabit sudah meletakkan jawatan.

Menurut Peguambela dan Peguamcara, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, dapatan daripada tribunal itu nanti akan membolehkan mereka yang terlibat boleh dipecat daripada jawatan, namun enam anggota SPR itu sudah pun meletakkan jawatan mereka pada 1 Januari lalu.

"Masalahnya 'Rule of Law' tidak membenarkan pemecatan terhadap seseorang yang telah meletakkan jawatan. Oleh itu, tribunal melibatkan lima bekas hakim ini tiada locus standi untuk mendengar kes ini.

"Peletakan jawatan enam anggota SPR berkenaan adalah sah mengikut Perkara 114 (3) Perlembagaan yang membenarkan mereka meletakkan jawatan pada bila-bila masa," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas mengumumkan penubuhan tribunal bagi menyiasat tuduhan serius membabitkan enam Ahli SPR berhubung peranan mereka dalam persiapan dan pelaksanaan PRU-14 ketika, sebelum serta pada hari pengundian 9 Mei 2018.

Tribunal dianggotai lima hakim bersara yang pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 114(3), 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka adalah Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong selaku Pengerusi dan dianggotai oleh Tan Sri Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Tribunal tersebut akan bersidang di Mahkamah Klang pada jam 10 pagi 28 Januari ini untuk menimbang teliti hal perkara berhubung mandat daripada Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Enam anggota SPR tersebut ialah bekas Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

Peguam yang membantu tribunal berhubung perkara tersebut ialah M Puravalen daripada Majlis Peguam Malaysia, Kogilambigai Muthusamy dan Ann Khong Hui Li daripada Jabatan Peguam Negara.