Penjawat awam antara ditahan salah guna daun ketum

Suspek yang ditahan dipercayai terlibat dengan salah guna daun ketum.
Suspek yang ditahan dipercayai terlibat dengan salah guna daun ketum.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua penjawat awam antara sembilan lelaki yang ditahan kerana dipercayai terlibat penyalahgunaan daun ketum dalam serbuan dilakukan pihak berkuasa di sebuah pondok berdekatan Blok S, Jalan Balau, Taman Rinting Masai di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjalankan risikan sebelum menahan semua individu berusia dari 22 hingga 57 tahun itu kira-kira jam 4.45 petang.

Susulan tangkapan itu, pemeriksaan dibuat ke atas sebuah kereta jenis Proton Iswara di parkir berhampiran pondok di blok berkenaan dan polis menemui daun ketum dianggar seberat lima kilogram (kg) diletakkan dalam bonet kereta terbabit.

"Seterusnya, hasil pemeriksaan di sebuah stor di blok yang sama, pihak polis menemui cecair ketum 16.4 liter disimpan di dalam tong ais batu.

"Polis turut memeriksa sebuah rumah di blok itu sebelum menemui peralatan dapur memasak disyaki digunakan untuk pemprosesan air ketum," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara rampasan barang hasil serbuan di Taman Rinting Masai.
Antara rampasan barang hasil serbuan di Taman Rinting Masai.

Menurut Mohd Afzanizam, siasatan polis mendapati kegiatan tersebut telah beroperasi lebih kurang setahun.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati ke semua suspek negatif dadah dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 di mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi 4 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu Mohd Afzanizam berkata, dalam operasi berasingan, pihaknya menjalankan serbuan dan pemeriksaan di sebuah premis pusat hiburan sekitar Johor Bahru, kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Katanya, 21 individu yang berhibur dalam premis itu diperiksa, manakala saringan awal air kencing mendapati dua individu berusia 17 dan 29 tahun positif dadah jenis methampethamine.