Skuad Sang Kancil perkenal logo baharu

Sulaiman (kiri), Ab Rauf (kanan) dan Mohd Ali (tengah) menunjukkan tanda bagus selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam dan Pelancaran Logo Baharu Melaka United di Banda Hilir, malam tadi.
Sulaiman (kiri), Ab Rauf (kanan) dan Mohd Ali (tengah) menunjukkan tanda bagus selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam dan Pelancaran Logo Baharu Melaka United di Banda Hilir, malam tadi.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) mencipta sejarah apabila berjaya memperkenalkan logo baharu bagi skuad Sang Kancil pada musim ini.

Logo baharu menampilkan ikon manusia masih mengekalkan imej Pokok Melaka serta diwarnai hijau dan putih sebagai warna rasmi bagi pasukan itu.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, dengan pengenalan logo baharu berkenaan akan dapat menyuntik kemegahan kepada pasukan yang kini dikenali sebagai Melaka United Football Club (Melaka United FC) selepas diswastakan.

Menurutnya, ini merupakan masa yang tepat bagi Melaka United bergerak sendiri menerusi penswastaan kelab sebagai syarat wajib bagi menyertai Liga Malaysia bermula musim 2021.

"Tahun ini adalah tahun terakhir pasukan bola sepak kebanggaan kita, Melaka United diuruskan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Melaka sebelum diswastakan namun, peranan Persatuan Bola Sepak Melaka akan kekal sebagai badan pentadbir bola sepak negeri.

"Saya berharap langkah penswastaan terus mencapai lebih banyak kejayaan, seterusnya membawa bola sepak Melaka ke tahap lebih membanggakan sebagai antara kuasa besar bola sepak negara pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Logo Baharu Melaka United yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri yang juga Penaung MUSA, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel Hatten, Banda Hilir, di sini, malam tadi.

Logo baharu kelab bola sepak Melaka.
Logo baharu kelab bola sepak Melaka.

Hadir sama, Penasihat MUSA, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman yang juga Presiden MUSA berkata, beliau juga akan berusaha untuk menyelesaikan isu berkaitan kewangan MUSA dengan sebaik-baiknya, sekali gus memastikan masalah tersebut tidak berterusan sehingga menjejaskan prestasi pasukan Melaka United.

"Saya sedar pemain dan pegawai pasukan turut terkesan dengan isu kewangan yang dihadapi MUSA ditambah pula dengan pandemik koronavirus Covid-19 yang memberi kesan besar, bukan sahaja kepada pasukan Melaka United,malah semua pasukan lain," katanya.

Tambahnya, beliau yakin komitmen, usaha serta semangat yang dimiliki pemain, tiada yang mustahil bagi pasukan Melaka United untuk mencatatkan kejayaan membanggakan musim ini, demi penyokong setia Melaka United.

Pada majlis itu, turut diadakan sesi penyampaian hadiah wang tunai bernilai RM5,000 serta pakej percutian kepada pemenang reka cipta logo kepada Mohd Asri Ab Aziz.

Mohd Ali ketika melekatkan kad sebagai simbolik menyempurnakan
Majlis Makan Malam dan Pelancaran Logo Baharu Melaka United di Banda Hilir, malam tadi.
Mohd Ali ketika melekatkan kad sebagai simbolik menyempurnakan Majlis Makan Malam dan Pelancaran Logo Baharu Melaka United di Banda Hilir, malam tadi.