Jangan pertaruh nasib pemain

MOHD FIRDAUS FOTO: FAM
MOHD FIRDAUS FOTO: FAM
A
A
A

Setiap pasukan Liga Malaysia (Liga-M) perlu segera menyelesaikan proses penswastaan agar tidak merisikokan nasib pemain mereka untuk beraksi dalam saingan musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, mana-mana pasukan tidak seharusnya memperjudikan karier kebanyakan pemain yang telah bersinar ketika beraksi di pentas tertinggi liga itu.

“Sebab itu setiap pengurusan pasukan ini mempunyai tanggungjawab besar untuk menyelesaikan proses penswastaan sebelum penghujung September ini. Kita telah memberikan masa yang lama kepada setiap pasukan untuk menyelesaikannya.

“Sudah tentu ia memberikan banyak kesan kepada semua pihak yang terlibat jika proses penswastaan tidak selesai termasuk juga kepada pemain. Apabila pasukan tidak lengkapkan proses penswastaan, ramai pemain akan terpaksa turun beraksi dalam Liga M3 dan sudah tentu ia bukan apa yang pemain harapkan kerana mereka mahu terus beraksi di pentas tertinggi Liga-M.

“Apa akan jadi dengan pemain ini musim depan sudah tentu akan ditentukan oleh persatuan itu. Kuncinya ada pada persatuan itu sama ada mereka proaktif atau tidak melengkapkan proses penswastaan,” katanya kepada Sinar Ahad kelmarin.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi lagi dengan persatuan bola sepak negeri atau kelab yang masih gagal melengkapkan proses penswastaan.

Malah, kesemua pasukan yang gagal dalam proses penswastaan itu akan diturunkan ke saingan Liga M3 dan kemungkinan dikenakan hukuman berat oleh FAM.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus menegaskan, FAM tidak lagi boleh berkompromi memandangkan masa telah lama diberikan kepada setiap pasukan menyelesaikan proses tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah arahan daripada AFC dan mereka sendiri telah bagi kepada kita masa sejak 2014 lagi. Tetapi, banyak bertangguh dan sekarang sudah enam tahun sejak AFC memberikan ruang kepada kita. Jadi sekarang tiada kompromi lagi.

“Kita tak nak liga kita ini tidak diiktiraf. Kalau AFC tak iktiraf, sama pangkat liga kita ini macam liga kampung. Tak susah pun nak buat proses penswastaan tersebut. Kalau betul-betul proaktif, sebulan pun boleh siap,” ujarnya.