X

Kindly register in order to view this article
!

Kesan PRK Slim kepada politik

A
A

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang terletak dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim, Perak menjadi tumpuan selepas pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada Barisan Nasional (BN) pada 15 Julai lalu.

Keunikannya ketara kerana kawasan Parlimen Tanjong Malim dimenangi oleh calon PKR; tiga DUN mempunyai penyandang daripada parti berbeza. DUN Behrang (Amanah); DUN Sungkai (DAP) dan DUN Slim (BN) daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Khusairi menjadi ADUN Slim selama empat penggal sejak tahun 2004. Tiga calon menawarkan diri termasuk calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang merupakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan bekas guru, Santhara Sekaran Subramaniam.

Slim terletak di pertengahan antara Kuala Lumpur dan Ipoh menjadi tumpuan atas beberapa sebab. Ia melibatkan kawasan kampung tradisi, Felda, kampung orang asli dan kawasan bandar serta pinggiran bandar.

Adakah langkah Slim akan bergerak daripada penjajaran parti politik kepada langkah koalasi (parti gabungan besar)? Hatta, Slim bukan sekadar satu PRK tetapi kesannya cukup besar ke atas parti dan personaliti.

Namun, ia juga boleh berubah menjadi ‘penjarakkan politik penjajaran’ kerana isyarat berlainan tersebar sejak kebelakangan ini dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional. Pasca-Slim akan menentukan barometer suhu keinginan untuk mendepani PRU15 dengan pendekatan strategik dan memahami ‘psikik politik’ beberapa personaliti yang sedang bersilat dalam pentas yang tidak seimbang.

Pengumuman Bersatu untuk menyertai MN yang datang pada hari penamaan calon mempunyai implikasi besar kepada politik siasah tanah air. Bersediakah Pas untuk memastikan 4,103 undi sebagaimana 6,144 undi daripada calon Bersatu yang diperoleh calonnya pada PRU14 dilonggokkan untuk calon BN?

BN sudah pasti mahu menang bergaya susulan kehadiran parti tidak berdaftar, Pejuang. Ini bukan sekadar pertembungan antara parti tetapi juga antara personaliti seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam ada yang mahu memastikan calon Bebas hilang wang deposit, ada pula mahu mengurangkan majoriti 2,183 sebelum ini.

Slim merupakan platform yang menguji Pakatan Harapan (PH) yang pertama kali berhadapan dengan suasana apabila Anwar tidak menjadi pilihan sebagai Perdana Menteri oleh DAP dan Amanah serta kemunculan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sebagai alternatif kepada beliau. Agenda mencalar reputasi Anwar dengan sebaran kes baharu meloyakan ramai seolah-olah sudah tidak ada isu lain.

Adakah defisit kepercayaan menjadi ujian yang perlu dilalui oleh PH di Slim? PKR juga ada menyatakan minat untuk bertanding pada peringkat awal. Adakah sabotaj akan berlaku kerana Pejuang akan bergantung kepada jentera parti gergasi ini.

Slim juga menjadi tumpuan kerana ia datang selepas Zahid mengumumkan UMNO tidak akan sertai Perikatan Nasional (PN) dan selepas keputusan pendakwaan ke atas Najib. Apakah naratif korupsi dan rasuah oleh parti Pejuang boleh mendepani artikulasi Islam-Melayu MN?

Wujudkah ‘politik melangkaui sempadan’ fitnah, tohmahan, kepercayaan, moral, agama dan etnik untuk kita menilai Slim sebagai PRK politik berhemah. Dalam kelangsungan politik identiti, permainan persepsi akan mendominasi kerana akhirnya, politik Malaysia adalah politik angka.

Pengumuman Bersatu untuk menyertai MN yang datang pada hari penamaan calon mempunyai implikasi besar kepada politik siasah tanah air.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!