Kayuh basikal 10 kilometer ke sekolah

Profesor Dr Nurestri (dua dari kanan) bersama rakan penyelidik memenangi pingat emas bagi rekacipta produk kesihatan di Geneva pada tahun 2005.
Profesor Dr Nurestri (dua dari kanan) bersama rakan penyelidik memenangi pingat emas bagi rekacipta produk kesihatan di Geneva pada tahun 2005.
A
A
A

Berkayuh sejauh 10 kilometer mengharungi perjalanan yang mendebarkan untuk pergi ke sekolah bukan perkara mudah bagi seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ketika itu.

Namun, kepayahan tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mengejar ilmu demi kehidupan yang lebih baik.

Kecekalan itu bagaimanapun membuahkan hasil apabila hari ini, setelah 57 tahun, remaja perempuan itu sudah bergelar profesor dan berjaya dalam bidang penyelidikan tumbuhan dan menghasilkan tiga paten produk kesihatan bersangkutan dengan inflamasi, ulser dan anti darah tinggi.

Wanita hebat itu ialah Profesor Datin Dr Sri Nurestri Abd Malek yang sudi berkongsi kenangan beliau kepada Sinar Ahad sebagai inspirasi untuk wanita. Mengenang kembali kisah itu, beliau berkata, perjalanan mendebarkan itu dilaluinya selama tiga tahun ketika belajar di Treacher Methodist Girls’ School, Taiping, Perak.

Profesor Dr Nurestri ketika menjadi penuntut di Universiti Otago, New Zealand pada 1971.
Profesor Dr Nurestri ketika menjadi penuntut di Universiti Otago, New Zealand pada 1971.

“Pada awalnya saya menaiki van ke sekolah. Tapi pemandu van itu selalu panggil saya ‘Melayu’ bukannya panggil nama saya, membuatkan saya rasa tidak selesa. Jadi saya tak mahu lagi naik van dan rela mengayuh basikal.

“Setiap hari saya melalui jalan raya yang sempit dan penuh bahaya sejauh 10 kilometer, namun perlahan-lahan ia menjadi kebiasaan,” katanya.

Sifat berani yang ada dalam diri Nurestri tidak terhenti setakat itu apabila sekali lagi anak kedua daripada 10 adik-beradik itu melakukan tindakan ‘gila’ dengan menulis sendiri surat permohonan kepada pengetua untuk diterima belajar di Kolej Tunku Khursiah, Seremban.

Artikel Berkaitan:

Oleh kerana tiada kelas jurusan Sains untuk Tingkatan Enam di sana, beliau terpaksa meneruskan pengajiannya di King Edward VII School, Taiping Perak.

Setelah selesai belajar di Tingkatan Enam, beliau menerima tawaran biasiswa Colombo Plan untuk meneruskan pengajian ke University of Otago, Dunedin, New Zealand.

“Pada mulanya saya rasa takut untuk terima tawaran itu sebab tempat yang paling jauh pernah saya pergi ialah Seremban dan saya juga tidak pernah bergaul dengan ‘mat saleh’.

“Namun ayah saya mempunyai harapan tinggi dan memberi keyakinan kepada saya,” katanya.

Mengajar

Nurestri melanjutkan pengajian Ijazah pertama BSc Hons (Kimia) dan MSc (Kimia Organik dan Produk Semula Jadi) di University of Otago, Dunedin, New Zealand dengan bantuan Biasiswa Colombo Plan pada tahun 1970.

Setelah selesai pengajian MSc, beliau kembali bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Mei 1975 sebagai pensyarah.

Pada bulan Ogos 2004, beliau berhijrah ke Universiti Malaya dan bertugas di Jabatan Biokimia, Fakulti Sains.

Pada tahun 2006, beliau dilantik sebagai profesor dan bertugas di universiti tersebut sehingga tarikh persaraan pada tahun 2016.

Berkongsi cabaran yang dihadapi sebagai pensyarah, Nurestri berkata, beliau perlu mengajar dalam bahasa Melayu setelah kembali dari New Zealand

Gambar terbaharu Profesor Dr Nurestri (empat dari kiri) bersama suami, Profesor Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob (lima dari kanan), anak-anak dan cucu-cucunya.
Gambar terbaharu Profesor Dr Nurestri (empat dari kiri) bersama suami, Profesor Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob (lima dari kanan), anak-anak dan cucu-cucunya.

“Tiada istilah Sains, saya terpaksa mencipta istilah sendiri dalam Bahasa Malaysia.

“Ketika itu juga saya mengajar kelas yang jumlah pelajarnya sangat besar dengan peralatan pengajaran yang sangat daif dan dewan kuliah yang tidak sesuai semasa mula bekerja pada 1975,” katanya.

Namun, dalam cabaran tentu ada manisnya apabila ketika di UM beliau diberi tugas menubuhkan Makmal Penyelidikan Berprestasi Tinggi.

“Saya menjalankan penyelidikan dalam bidang herba dengan dana sebanyak RM9 juta. Banyaklah faedah dapat dihasilkan. Inilah kenangan manis saya sepanjang menjadi seorang profesor,” katanya.Pengalaman yang sangat luas dan mendalam dalam aspek isolasi dan pengenalpastian komponen aktif dalam tumbuhan membuatkan beliau berjaya menerbitkan hampir 100 rencana ilmiah dalam jurnal saintifik di dalam dan luar negara.

Kepuasan mencapai kejayaan tidak terhenti di situ apabila setelah bersara daripada perkhidmatan universiti, beliau memberanikan diri untuk mengkomersialkan ilmu serta pengalaman yang telah diperoleh sekian lama supaya dapat dikongsikan bersama masyarakat umum.

“Sejak itu lahirlah syarikat Vigor Herbs serta produk-produk di bawah jenama Sri’s Herbs yang menonjolkan herba-herba tempatan yang mempunyai nilai perubatan,” katanya.