63,132 wanita berdaftar dengan i-Suri

Dr Wan Azizah menunjukkan risalah i-Suri di hadapan reruai KWSP yang terdapat dalam Program Santuni Rakyat Peringkat Johor di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.
Dr Wan Azizah menunjukkan risalah i-Suri di hadapan reruai KWSP yang terdapat dalam Program Santuni Rakyat Peringkat Johor di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Seramai 63,132 wanita terdiri daripada golongan suri rumah, balu dan ibu tunggal berdaftar dengan insentif i-Suri sehingga 31 Disember lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut seramai 1,177 wanita berdaftar dengan insentif itu di Johor.

“Pelancaran i-Suri pada 8 Ogos 2018 adalah untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang asas kepada golongan suri rumah yang memikul tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan anak.

“Mereka adalah golongan yang amat terdedah kepada risiko apabila berlaku musibah dalam keluarga,” katanya ketika berucap pada Program Santuni Rakyat Peringkat Johor di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Dr Wan Azizah berkata, selain itu seramai 25,674 wanita dalam kalangan suri rumah berdaftar dengan caruman sukarela insentif persaraan (i-Saraan) sehingga 31 Disember lalu yang diwujudkan kerajaan untuk wanita tidak layak memohon i-Suri.

“i-Saraan diperkenalkan bagi menggalakkan golongan yang tiada pendapatan tetap seperti petani, pemandu teksi dan peniaga kecil untuk menyimpan bagi hari tua selain mendapat manfaat sama diterima ahli KWSP.

“Kerajaan sangat mengambil berat terhadap golongan suri rumah khususnya golongan miskin dan miskin tegar bagi memastikan keselamatan sosial mereka terjamin,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) kira-kira jam 9.55 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Dr Wan Azizah kemudiannya mengadakan pertemuan bersama Osman di kediaman rasmi Menteri Besar Johor bagi mendengar taklimat berkaitan pembangunan Johor.