Norma lazim tafsiran Islam

A
A
A

Kini ramai yang sudah mula memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang disebut dalam Perkara 3 Perlembagaan.

Perkembangan itu sangat bagus kerana literasi undang-undang khususnya terhadap Perlembagaan Persekutuan sudah berkembang. Lantaran ramai yang berasa lega kewujudan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan memberi jaminan berhubung kedudukan istimewa agama Islam di samping agama lain boleh dianuti dan diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan.

Kita bersyukur kewujudan Perkara 3 itu kerana negara lain ada yang tidak mempunyai agama negara malah ada juga negara yang meletakkan pelbagai agama pada kedudukan sama, tiada keistimewaan antara satu agama dengan agama yang lain.

Malaysia yang unik ini telah menetapkan kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Malah terdapat pelbagai perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkait tentang kedudukan tinggi agama Islam berbanding agama lain.

Walaupun demikian, ia tidaklah bermakna agama lain boleh dizalimi atau dihalang daripada dianuti dalam negara. Kebebasan menganut dan mengamal agama adalah tunjang kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Kegembiraan itu mempunyai asas namun begitu kita tidak boleh leka dengan kewujudan Perkara 3 ini sahaja. Ini adalah disebabkan sifat perlembagaan itu adalah suatu yang ‘hidup’, ia ditafsirkan mengikut kesesuaian waktu dan tempatnya. Oleh itu, tafsiran yang betul tentang agama Islam adalah sangat penting. Sebagai contoh dahulu sebelum kemerdekaan ramai yang berfikiran Islam itu hanyalah setakat ritual dan Rukun Islam sahaja seperti dalam peribadatan. Tetapi kini Islam difahami sebagai sebuah cara hidup.

Itulah sebabnya dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz memutuskan Islam itu bukan sekadar ritual tetapi merupakan sebuah cara hidup yang lengkap.

Penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut membuka lembaran baharu tentang tafsiran agama Islam yang diungkapkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, kini undang-undang Islam boleh dibuat mencakupi aspek yang lebih besar lagi bukan sekadar berkaitan dengan Rukun Islam sahaja.

Artikel Berkaitan:

Tafsiran Islam itu sendiri sudah berbeza sebelum kemerdekaan berbanding kini. Di luar negara, saya mengambil contoh negara Turki yang jelas menyebut negaranya adalah negara sekular. Pernah suatu ketika dahulu seorang ahli Parlimen wanita Turki dilucutkan kewarganegaraannya kerana memakai tudung dalam Parlimen. Hal itu disebabkan tidak ada simbol agama boleh dibawa ke dalam Parlimen Turki yang telah pun diisytihar sebagai negara sekular. Kini tafsiran sekular di Turki lebih longgar dan wanita Muslim sudah dibenarkan bertudung di tempat-tempat awam termasuk di dalam bangunan Parlimen Turki.

Perubahan itu berlaku kerana norma lazim rakyat Turki sudah berubah. Pemakaian tudung sudang diterima sebagai amalan kewajipan agama walaupun berada dalam premis pentadbiran kerajaan.

India juga mempunyai peruntukan berkaitan negara sekular dalam Perlembagaan mereka, namun banyak undang-undang India dibuat berkaitan agama. Kerajaan India tidak meninggalkan agama dalam pentadbiran mereka. Malah undang-undang kontroversi India baru-baru ini juga membuat diskriminasi kepada orang Islam yang tidak seharusnya wujud jika mereka benar-benar sekular.

Berbalik kepada negara kita, jika Islam hanya diterima sebagai amalan dan ritual sahaja, sudah pasti pengamalan Islam sebagai suatu cara hidup akan terhakis. Memang kini sudah terdapat gerakan yang mahu mengehadkan Islam kepada amalan ritual sahaja. Oleh yang demikian umat Islam seharusnya tidak leka dengan hanya bersandarkan kepada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tetapi mesti menzahirkan Islam itu sendiri sebagai sebuah cara hidup.

Islam mesti dijelmakan dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia khususnya bagi orang Islam sama ada dalam kapasiti peribadi ataupun rasmi. Sekiranya umat Islam bersikap acuh tidak acuh tentang pengamalan Islam sebagai suatu cara hidup pasti norma lazim masyarakat satu masa nanti akan kembali mentafsirkan Islam sekadar ritual-ritual sahaja.

Tafsiran Islam itu sendiri sudah berbeza sebelum kemerdekaan berbanding kini.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia