Malaysia di mata Azerbaijan

Bendera Azerbaijan, Malaysia. Foto 123rf
Bendera Azerbaijan, Malaysia. Foto 123rf
A
A
A

Azerbaijan melihat Malaysia sebagai negara Islam yang progresif dan menganggapnya sebagai ‘Harimau Asia Tenggara,’ yang disokong oleh pembaharuan ekonomi yang baik dan pembangunan pesat, kata Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Profesor Dr Qaley Allahverdiyev.

Menurut beliau, Azerbaijan mahu mencontohi Malaysia sebagai model pembangunan ekonomi. Qaley telah mula berkhidmat sebagai Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia semenjak 2013 dan kini beliau memegang status Dean of Diplomatic Corps di mana beliau merupakan duta asing yang paling lama berkhidmat di Malaysia.

Azerbaijan mempunyai peradaban dan sejarah ketamadunan yang lama. Ia melahirkan ramai pemikir, penyair dan saintis yang luar biasa. Antara saintis dan ahli falsafah Islam, misalnya Abul Hasan Bakhmanyar (abad ke-11) yang mengarang banyak karya mengenai matematik dan falsafah serta Abul Hasan Shirvani (abad ke-11dan 12), pengarang dalam bidang Astronomi Islam.

Salah seorang tokoh utama dalam sejarah Azerbaijan ialah Sarah Khatun yang merupakan diplomat wanita Islam yang pertama dalam dunia Islam. Selain itu, Azerbaijan juga terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana keindahan alam semula jadi serta peninggalan sejarah.

Hubungan Malaysia-Azerbaijan terjalin pada 5 April 1993. Justeru, Azerbaijan telah membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada bulan Jun 2007, sementara kedutaan Malaysia di ibu kota Azerbaijan, Baku dibuka pada 1 April 2014. Setelah penubuhan kedua-dua kedutaan, Petronas Azerbaijan memulakan operasinya di Baku pada 2015 dan hingga kini pelaburannya dianggarkan bernilai AS$5 bilion.

Deklarasi bersama mengenai hubungan persahabatan dan kerjasama antara Azerbaijan dan Malaysia ditandatangani. Melalui deklarasi itu, kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor tenaga dan carigali diperkukuhkan.

Azerbaijan telah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Gerakan Berkecuali atau NAM ke-18 pada 2019 dan Presiden Ilham Aliyev, Presiden Azerbaijan merupakan Pengerusi NAM sehingga 2022. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Ilham Aliyev ketika menghadiri Persidangan NAM.

Dalam pertemuan 20 minit antara kedua-dua pemimpin, Presiden Ilham telah menyatakan kerjasama Malaysia-Azerbaijan kukuh dalam sektor tenaga dan berpotensi untuk diperluas ke bidang lain juga, terutama sektor pelancongan, perbankan Islam, sains dan teknologi serta pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Kerjasama

Malaysia telah menyokong Azerbaijan ketika menghadapi konflik Nagorno-Karabakh. Malaysia menyokong empat Resolusi PBB yang telah diterima oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut pengunduran segera tentera Armenia dari wilayah Azerbaijan dan tanpa syarat.

Pada Julai 2020, Inter-Parlimen Malaysia-Azerbaijan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong kuat Azerbaijan dalam isu percubaan tentera Armenia untuk menceroboh wilayah Tovuz di kawasan sempadan Azerbaijan-Armenia. Malaysia terus menyokong usaha antarabangsa agar pengunduran segera tentera Armenia dari semua wilayah yang diduduki di Azerbaijan.

Walaupun dari segi geografi, Malaysia dan Azerbaijan agak jauh namun kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan. Antaranya Malaysia dan Azerbaijan merupakan negara majoriti penduduknya beragama Islam. Kedua-dua negara adalah anggota Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia dan Azerbaijan telah bekerjasama dan akan terus bekerjasama dalam isu antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Jika Azerbaijan menganggap Malaysia sebagai ‘Harimau Asia Tenggara’, Azerbaijan boleh dianggap sebagai ‘Kuda Rantau Kaukasus dan Asia Tengah’ untuk membawa kerjasama yang lebih erat di antara Asia Tengah dengan dunia luar.

*Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Jabatan Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya