Bahaya amalan boros berterusan

A
A
A

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) nyaris-nyaris hilang sokongan majoriti secara tidak langsung di Dewan Rakyat pada 17 Ogos melalui undian Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Belanjawan) Tahun 2020.

Daripada 222 ahli dewan, 111 mengundi menyokong manakala 106 menolak. Kita tidak tahu berapa banyak ahli dewan yang sebenarnya menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berterusan.

Yang kita tahu atau dengar ialah beliau mempunyai sokongan majoriti ahli dewan apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 2 Mac lalu.

Inilah masalah pokok dengan sebuah kerajaan yang tidak dipilih secara langsung melalui pilihan raya. Kerajaan PN tertubuh apabila Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari lalu.

Rang undang-undang itu tidak popular kerana ia memberatkan lagi beban kewangan negara dan rakyat jelata pada saat ekonomi sedang mengalami tekanan yang amat teruk akibat pandemik Covid-19.

Dalam rencana minggu lalu, kita telah bincang mengenai ekonomi negara yang menguncup sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua tahun ini.

Rang undang-undang itu menambah perbelanjaan kerajaan sebanyak RM7.2 bilion berbanding peruntukan asal kerajaan PH semata-mata kerana kerajaan PN telah menambah bilangan Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan mendirikan beberapa agensi baharu.

Jadi, untuk menampung bilangan Menteri, Timbalan Menteri dan agensi yang lebih banyak itu, kerajaan dan rakyat terpaksa menanggung beban perbelanjaan tambahan.

Artikel Berkaitan:

Peruntukan tambahan RM7.2 bilion itu bukan sahaja besar tapi tidak menjamin apa-apa pulangan kerana ia adalah perbelanjaan mengurus dan bukan perbelanjaan pembangunan seperti membina sekolah atau hospital.

Sebagai perbandingan, kos membina Hospital Sungai Buloh yang sekarang terkenal kerana dijadikan pusat rawatan utama Covid-19 hanyalah RM1.3 bilion.

Maksudnya jumlah peruntukan tambahan RM7.2 bilion setahun itu boleh membina lebih lima buah hospital sebesar Hospital Sungai Buloh setiap tahun mengikut harga tetap atau membiayai pengajian kira-kira 460,000 pelajar perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Jumlah yang sama cukup untuk menampung belanjawan tahunan Kedah atau Kelantan selama tujuh tahun. Dua buah negeri itu membelanjakan RM1 bilion setahun setiap satu dan masing-masing mempunyai dua juta penduduk.

Jadi, kita boleh nampak perbezaan RM1 bilion yang masing-masing dibelanjakan oleh Kelantan dan Kedah ke atas empat juta manusia berbanding RM7.2 bilion ke atas 32 orang Menteri dan 38 Timbalan Menteri dalam kerajaan PN berbanding 27 Menteri dan 26 Timbalan Menteri dalam kerajaan PH.

Hatta Selangor yang kaya dan maju dengan penduduk hampir 5.8 juta itu pun membelanjakan RM2.33 bilion saja tahun ini.

Maka dari sudut pengurusan kewangan awam, tidaklah banyak beza kerajaan PN dengan Barisan Nasional (BN).

Rakyat jelata disuruh berjimat cermat, kerajaan sendiri boros dan cemerkap. Cuma dalam hal kerajaan PN ini, mungkin terlalu awal untuk mengetahui sama ada ia juga terdedah kepada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah seperti yang berleluasa pada akhir zaman BN.

Sebab itulah kita wajib pilih kerajaan yang amanah dengan para pemimpin yang berwibawa.

Kita tidak boleh lagi membiarkan diri kita ditipu atas alasan kononnya mereka berjuang demi agama, bangsa dan negara. Islam tidak mengajar kita menipu, pecah amanah dan boros.

Wallahuaklam.

Sebab itulah kita wajib pilih kerajaan yang amanah dengan para pemimpin yang berwibawa.

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara