Lima lelaki ditahan miliki, jual beli senjata api

Dua senapang angin buatan sendiri ditemui pada serbuan polis di sebuah bengkel di Parit pada Isnin lalu. - Foto Polis
Dua senapang angin buatan sendiri ditemui pada serbuan polis di sebuah bengkel di Parit pada Isnin lalu. - Foto Polis
A
A
A

PARIT - Polis menahan lima lelaki kerana memiliki dan melakukan urus niaga melibatkan tiga senjata api di sini Isnin lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sebuah bengkel kimpalan di Jalan Tronoh di sini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, dua senapang angin buatan sendiri ditemui ketika serbuan jam 1 petang itu.

“Pemeriksaan lanjut pada sebuah van menjumpai beg hitam yang mengandungi selaras ‘pump gun’ jenama Aral bersama dua butir peluru penabur 12 bore.

“Susulan itu, polis menahan pemilik bengkel berusia 41 tahun dan lelaki berusia 29 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selaras ‘pump gun’ dirampas pada serbuan di bengkel kimpalan di Parit pada Isnin lalu. - Foto Polis
Selaras ‘pump gun’ dirampas pada serbuan di bengkel kimpalan di Parit pada Isnin lalu. - Foto Polis

Menurutnya, hasil soal siasat yang dilakukan membawa tiga lagi tangkapan di Perak Tengah; Gemas, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor.

“Tiga lelaki berusia 59, 33 dan 36 tahun dipercayai terlibat dalam urusan membabitkan ketiga-tiga senjata api tersebut ditangkap dalam serbuan antara Rabu lalu hingga semalam.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua mereka direman selama empat dan lima hari untuk siasatan termasuk dari mana senjata api dan peluru itu diperoleh,” katanya.

Barudin berkata, senjata api dan peluru yang dirampas itu dihantar ke Bahagian Persenjataan untuk analisa dan ujian ‘serviceability’.

“Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda maksimum RM 10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.