Kertas cadangan KXP dibentang semula November depan

Ka Siong dan Muhammad Sanusi (kanan) ketika mengadakan perbincangan berkaitan projek KXP di Putrajaya semalam.
Ka Siong dan Muhammad Sanusi (kanan) ketika mengadakan perbincangan berkaitan projek KXP di Putrajaya semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Kertas cadangan projek Lapangan Terbang Antarabangsan Kulim (KXP) akan dibentangkan semula di mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) November depan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, persetujuan itu dicapai hasil pertemuan antara delegasi kerajaan negeri Kedah bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya petang semalam.

Menurutnya, pertemuan itu penting untuk mencapai penyelesaian kepada masalah berbangkit antara kedua-dua pihak berasaskan kepada bidang kuasa masing-masing.

“Pertemuan tersebut adalah rentetan daripada keputusan mesyuarat MPFN minggu lalu yang mengumumkan penangguhan projek KXP kerana kajian National Airport Strategic Plan (NASP) belum disiapkan sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, antara dibincangkan termasuk merungkai beberapa cabaran dalam mematuhi prosedur dan proses asas yang menjadi penentu kepada kejayaan projek itu yang perlu dipenuhi semua pihak.

“Dalam pertemuan itu, kita telah bentangkan segala perancangan dan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melaksanakan pembinaan KXP dan komponen projek tersebut meliputi Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing Hub (SLAM) dan Aerotropolis,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin KXP dan komponennya bakal menjadi 'game changer' dan katalis kepada kemakmuran ekonomi yang mampu dicetuskan kepada Kedah dan seluruh Wilayah Utara.

“Semua pihak sangat teruja untuk menjayakan dan mempercepatkan pelaksanaan projek ini berdasarkan kepentingannya kepada negara dan Kedah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Delegasi Kedah turut disertai, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), KXP AirportCity Holdings, Datuk Dr Ir Annuar Mohd Saffar.

Mesyuarat antara delegasi Kedah dan MOT berlangsung dengan jayanya di Putrajaya semalam.
Mesyuarat antara delegasi Kedah dan MOT berlangsung dengan jayanya di Putrajaya semalam.

Sementara itu, Ka Siong berkata, pihaknya akan membentuk pasukan khas antara KXP AirportCity Holdings bersama NCIA bagi meneruskan perbincangan berkaitan cadangan pembinaan KXP.

“Pelan induk strategik diperlukan bagi memastikan pengangkutan kargo dan penumpang di KXP tidak menjadi projek sia-sia atau merugikan. Kita akan meneruskan perbincangan secara dalaman dan membuat penilaian secara profesional berhubung KXP sebelum muktamadkan keputusan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya akan meneruskan kajian NASP seperti dirancang.

“Apa jua cadangan pembinaan baharu lapangan terbang perlu dibentangkan di MPFN, dipengerusikan Perdana Menteri untuk pertimbangan dalam mesyuarat akan datang.

Bagi memulihkan semula negara, kerajaan perlu rancang dengan teliti supaya ia memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara holistik serta berpanjangan,” katanya.

Terdahulu, Ka Siong menerima kunjungan hormat delegasi kerajaan negeri Kedah, diketuai Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor di Pejabat Menteri Pengangkutan, Putrajaya.

Dalam pertemuan itu, beliau diberi taklimat mengenai cadangan pelaksanaan projek KXP yang terletak bersebelahan Taman Sidam Kiri dan berhampiran Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi menyatakan hasrat agar mempercepatkan pembinaan KXP tanpa mengabaikan keperluan kajian NASP yang akan dilaksanakan oleh MOT.