Tahanan lokap positif Covid-19

 Seorang wanita yang ditahan di lokap IPD Semporna didapati positif Covid-19.
Seorang wanita yang ditahan di lokap IPD Semporna didapati positif Covid-19.
A
A
A

SEMPORNA - Seorang wanita yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di sini, membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, didapati positif koronavirus (Covid-19), semalam.

Warga Filipina berusia 29 tahun itu, yang ditahan di perairan Semporna pada 16 Ogos, menerima keputusan itu semalam, selepas lima hari menjalani saringan di Klinik Kesihatan Semporna.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Menurutnya, IPD Semporna serta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penularan kes itu.

Difahamkan KKM selesai menjalankan proses nyah cemar di seluruh kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna terutamanya lokap yang menempatkan suspek wanita itu.

Dianggarkan lebih 100 individu termasuk tahanan lokap, pegawai dan anggota polis yang dipercayai menjadi kontak rapat wanita berkenaan perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Pada 16 Ogos lepas, PGA Batalion 14 (Kompeni B) menahan 10 individu disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran masuk ke perairan Semporna dari Filipina menggunakan sebuah bot. Sehari selepas itu kesemua tangkapan dibawa ke Klinik Kesihatan Semporna untuk menjalani saringan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: