ABIM selar amalan surat sokongan politik

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyelar amalan penggunaan surat sokongan politik untuk meraih jawatan seperti dilakukan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan dipersetujui Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan Ikmal Hisham mendapatkan sokongan bosnya itu agar anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam Pharmaniaga Bhd mengakibatkan berlakunya situasi kelompok tertentu sahaja yang meraih peluang ekonomi secara semberono.

Menurutnya, tindakan itu juga menafikan ruang serta potensi mobilisasi sosial dalam kalangan rakyat untuk mencapai tahap hidup yang lebih baik.

"ABIM menyelar tindakan tersebut kerana ia terus menjadi kesinambungan kepada kegagalan memartabatkan orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Surat sokongan tular: Tak berlaku salah guna kuasa, kata Ismail

"Tindakan sebegini adalah petunjuk yang telah mengabsahkan (mengesahkan) bahawa agenda Melayu telah dimanipulasi untuk membentuk kelompok Melayu elit dan kerangka feudal Melayu, yang akhirnya tidak memberikan apa-apa keuntungan ataupun meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, amalan surat sokongan itu dilihat sebagai penerusan kepada pencemaran tindakan afirmatif dalam agenda mengangkat martabat orang Melayu yang disandarkan pada hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sepertimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini telah mendapat kritikan sepertimana diutarakan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid bila mana kuasa-kuasa tertentu seperti pemberian lesen dan pelantikan tertentu terbuka untuk disalahguna golongan Melayu tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Maka ia akan merencatkan agenda meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu dan bumiputera," katanya.

Salinan surat sokongan ditulis Ikmal Hisham yang dikatakan meminta anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga tular di media sosial semalam.

Surat ditujukan kepada Menteri Pertahanan bertarikh 5 Jun 2020 itu turut tertera tulisan tangan Ismail Sabri yang diminitkan kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan mengatakan beliau bersetuju dengan cadangan itu.

Bagaimanapun, Ismail Sabri hari ini menafikan berlaku salah guna kuasa oleh timbalannya dalam isu mendapatkan sokongan bagi melantik anaknya sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.

Menurut Ismail Sabri, tindakan Ikmal Hisham itu mendapatkan surat sokongan daripada beliau adalah satu perbuatan biasa yang selalu dilakukan pelbagai pihak.