Misi ambil alih Sabah datang dengan tanggungjawab besar

Hajiji memukul gong ketika merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Tuaran di Dewan Sri Sulaman hari ini. - Foto Bernama
Hajiji memukul gong ketika merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Tuaran di Dewan Sri Sulaman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Misi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) datang dengan tanggungjawab besar.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Hajiji Noor berkata, antara tugas besar Bersatu dan sekutunya jika berjaya mengambil alih kerajaan negeri pada PRN 26 September ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Katanya, kerajaan negeri yang diketuai Parti Warisan Sabah (Warisan) mesti dikalahkan kerana lebih dua tahun pemerintahan mereka, keadaan ekonomi rakyat dan pentadbiran mereka amat mendukacitakan.

“(Warisan) Tidak ada hala tuju yang jelas, tidak ada usaha untuk meningkat taraf hidup rakyat selain mengambil nama dengan projek-projek yang dilaksanakan dan dirancang kerajaan terdahulu.

“Mengikut statistik pertumbuhan KDNK Sabah amat merosot pada tahun 2018 dan 2019. Sebelum Warisan mengambil alih kerajaan negeri, KDNK berada pada paras 8.5 peratus tetapi setelah mereka memerintah ia jatuh kepada 0.5 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Tuaran di sini, hari ini.

Hajiji yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, ini bermakna tidak banyak aktiviti ekonomi dilaksanakan kerajaan Warisan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan peluang pekerjaan juga begitu sukar bagi rakyat dan mereka yang baru keluar dari institusi pengajian tinggi.

"(Oleh itu) Misi kami adalah untuk mengambil alih kerajaan Negeri Sabah. Insya-Allah, kami akan berjaya bersama-sama rakan-rakan komponen PN seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan UMNO,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Bersatu Sabah akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin parti sekutu minggu depan dan antara perkara yang akan dibincangkan adalah mengenai hasrat Bersatu negeri untuk bertanding di 40 kerusi.

Artikel Berkaitan:

“Banyak perkara yang kita perlu bincangkan dalam perjumpaan itu ...apa yang kita mahu adalah situasi menang-menang. Kita perlu memastikan kerusi yang kita letakkan calon menang dan jangan ada pertikaian mengenai pertindihan kerusi.

“Mengenai hubungan Bersatu dengan UMNO di Sabah, kami boleh berkerjasama dengan baik,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 Sept, dengan hari pencalonan 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept, membabitkan kira-kira 1.12 juta pengundi. - Bernama