75 individu dikompaun, 11 direman ingkar PKPP

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 75 individu dikompaun manakala 11 individu pula direman atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, 53 individu dikenakan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melakukan kesalahan menyukarkan penjarakan fizikal, 30 individu gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk, dua orang tidak memakai pelitup muka serta seorang pendatang asing tanpa izin.

Mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara pula, PDRM mengadakan 63 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 28,729 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Daripada operasi tersebut, tiada sebarang tangkapan dilakukan. Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa terus mengetatkan kawalan sempadan," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP, hari ini.

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 15,174 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 69 Hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

Jelasnya daripada jumlah itu, seramai 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 7,469 individu telah discaj serta dibenarkan pulang.

"Mereka telah pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat," katanya.

Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melakukan 1,536 pemeriksaan khas pematuhan PKPP dan mendapati 1,529 premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat enam premis diberi nasihat dan satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP. Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan," katanya. - Bernama