Pas sahkan MN terima surat persetujuan penyertaan Bersatu

Takiyuddin -Foto Bernama
Takiyuddin -Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mengesahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyatakan persetujuan menyertai Muafakat Nasional menerusi surat yang dihantar beberapa hari lalu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jawapan balas itu dihantar selepas menerima surat pelawaan daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Namun menurutnya, perbincangan lanjut untuk mendaftarkan Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan belum dimulakan.

"Hari ini, saya boleh mengesahkan bahawa Muhyiddin sudah menjawab surat itu dan menyatakan kesediaan Bersatu menjadi anggota bersama Muafakat Nasional.

"Kita dah terima surat itu atas nama Presiden Pas, jadi ianya sah... tapi kita belum sempat ada perbincangan antara tiga parti lagi, mungkin akan diadakan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui media hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Pelancaran Skim Bantuan Pelajar Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam melibatkan 300 penerima.

Beliau berkata, jawatankuasa Muafakat Nasional belum berbincang sama ada ingin mendaftarkan nama PN atau Muafakat Nasional sebagai satu gabungan.

Katanya, hal ini kerana untuk menyertai Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) gabungan parti perlu didaftarkan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau sekiranya kita, pada PRU15 misalnya nak guna PN maka ia perlu didaftarkan dulu sebagai sebuah parti. Kalau nak Muafakat Nasional maka perlu daftar juga. Itu kena bincanglah dulu bila dah ada partnership kena bincang bersama,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, PN masih baharu di peringkat penajaan dan Pas adalah antara penaja dalam membawa PN sebagai sebuah gabungan yang sah.

“Bagi satu-satu pakatan tu dia boleh semua. Daftar pun boleh, tak daftar pun boleh tetapi kalau untuk tujuan masuk pilihan raya kena daftar. Kalau tidak tak boleh pakai Muafakat Nasional.

“Macam Pakatan Harapanlah (PH). (Pada) PRU14 lalu (PH) ni tak daftar. Jadi dia tak boleh masuk atas nama PH. Lepas tu dia masuk dalam PKR (Parti Keadilan Rakyat). Jadi kalau sekiranya kita PRU15 misalnya kita nak guna PN perlu daftar sebagai sebuah parti.

“Kalau nak guna Muafakat Nasional di sini perlu daftar,” katanya.